SEBANYAK 14 negara Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (Ipef) termasuk Korea Selatan akan memulakan rundingan rasmi di Australia hujung minggu ini dalam usaha meningkatkan kerjasama ekonomi serantau yang kini berhadapan pelbagai cabaran.
Presiden AS Joe Biden melancarkan rangka kerja ekonomi pada Mei dan negara anggota yang mengambil bahagian akan mengadakan pusingan pertama rundingan penetapan peraturan di bandar Brisbane, Australia dari 10 hingga 15 Disember, lapor Yonhap Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan.
Rundingan platform 14 anggota itu yang termasuk Korea Selatan, AS, Jepun, Australia, New Zealand, Singapura dan India akan melibatkan empat tonggak utama iaitu perdagangan adil, daya tahan rantaian bekalan, infrastruktur dan teknologi hijau serta cukai dan antirasuah.
Pada September, menteri perdagangan negara-negara anggota bersetuju memulakan rundingan rasmi itu.
Korea Selatan akan menghantar delegasi yang diketuai pegawai kanan perdagangan Kim Jeong-hoe.
“Ipef melibatkan negara yang boleh membantu menstabil dan mempelbagai rantaian bekalan industri utama kami, termasuk semikonduktor, bateri dan mineral utama.
“Kerajaan akan berusaha untuk memastikan kejayaan rundingan itu bagi membantu mengukuhkan daya saing industri kami dan meningkatkan eksport,” kata Kim.
Platform itu dilihat sebagai tindakan Washington untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di rantau ini.
Negara anggota Ipef menyumbang 41 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 32% daripada jumlah penduduk, menurut data kerajaan. – Bernama, 9 Disember, 2022.
Komen