PRESIDEN Equatorial Guinea Teodoro Obiang Nguema Mbasogo mengangkat sumpah jawatan pada Khamis untuk pemerintahan penggal keenamnya sekali gus menjadikan beliau presiden paling lama berkhidmat.
“Statistik menunjukkan rakyat sentiasa menyokong pencalonan saya,” kata Obiang, 80, presiden paling lama berkhidmat di dunia ketika ini yang kini memasuki tahun ke-43, lapor Agensi Anadolu.
“Selagi saya menjadi presiden dan dengan sumber yang ada, hasrat dan keperluan rakyat untuk kesejahteraan akan dapat direalisasikan sepenuhnya,” ikrar Obiang pada majlis yang berlangsung di Malabo, menandakan permulaan untuk memegang tampuk pemerintahan negara selama tujuh tahun lagi.
Obiang berjanji untuk melaksanakan sepenuhnya projek yang tertangguh selain membasmi rasuah dan mengekalkan perpaduan di negara Afrika Tengah itu.
Beliau memberi jaminan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serta pembangunan mampan yang dinikmati negara.
Obiang berkuasa sejak 1979 setelah menggulingkan presiden Francisco Macias Nguema dalam rampasan kuasa.
Keputusan yang dikeluarkan beberapa hari selepas pilihan raya presiden pada 20 November, menunjukkan Parti Demokratik Equatorial Guinea (PDGE) memperoleh kemenangan besar dengan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan di negara yang mempunyai kira-kira dua juta penduduk itu. – Bernama, 9 Disember, 2022.
Komen