Pembatalan kelulusan kontrak projek tebatan banjir timbul persoalan


PENGUMUMAN Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau mengarahkan “pembatalan kelulusan” kontrak projek tebatan banjir bernilai antara RM7 bilion sehingga RM15 bilion kerana mendakwa ia dibuat secara rundingan terus menimbulkan banyak persoalan.

Pertamanya terma “kelulusan” yang digunakannya tidak tepat kerana menurut kenyataan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Tuan Ibrahim Tuan Man beliau belum pernah menandatangi sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana pihak untuk meneruskan projek tebatan banjir itu.

Maka tidak wujud soal “membatalkan kelulusan” kerana belum ada dokumen hitam putih perundangan mengikat kerajaan dalam projek itu.

Keduanya pemahaman Anwar tentang “projek tebatan banjir” menerusi laporan akhbar sangatlah tidak meluas. 

Ia bukan sekadar soal pembinaan aspek fizikal tebatan banjir tetapi
meliputi keseluruhan ekosistem pengurusan bencana yang perlu dibangunkan demi keselamatan rakyat.

Ini termasuklah naik taraf sistem dan organisasi MET Malaysia serta amaran banjir awal kepada pengguna, aspek paling mustahak di dalam pengurusan bencana.

MET Malaysia adalah agensi terpenting apabila seluruh dunia termasuklah Malaysia berdepan risiko dan kesan perubahan iklim, ia bukan lagi agensi peramal kaji cuaca tetapi memainkan
peranan utama dalam memberi amaran bagi memulakan gerak kerja perlindungan dan pengurusan semua aspek dalam krisis perubahan cuaca dan iklim.

Kerana itu sebelum PRU15 berlaku pada Ogos 2022 Tuan Ibrahim sudah mengumumkan peruntukan tambahan kepada MET Malaysia bagi memperkasakan mereka dalam usaha mendepani isu perubahan iklim.

Ketiganya alasan Anwar yang “minta fail itu tidak diteruskan, diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan” dalam kata lain adalah untuk
mendahulukan karenah birokrasi dalam isu yang menekan rakyat.

Saya percaya ketika perbincangan projek tebatan banjir berlaku ketika pentadbiran Perikatan Nasional, semua prinsip ketelusan dan peraturan masih dipatuhi tetapi proses perbincangan dipercepatkan kerana isu perubahan iklim terutamanya banjir adalah isu yang sangat mendesak.

Sehubungan itu “pembatalan kelulusan” dibuat Anwar bukan sahaja melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara tetapi juga berniat jahat ke atas Perikatan Nasional yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan.

Ketika tragedi bah besar pada Disember 2021 dengan Shah Alam menjadi lokasi paling teruk terjejas dengan kerugian mencecah RM6.1 bilion (0.4% KDNK) di seluruh negara, Pakatan Harapan di Selangor sendiri mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat iklim.

Jadi apabila Pakatan Harapan sudah menjadi Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan adakah pertimbangan darurat iklim ini sudah tidak dipedulikan mereka dan mahu mendahulukan karenah birokrasi?

Di bawah pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini, wujud cadangan untuk membina kolam takungan bawah tanah banjir di lokasi Stadium Shah Alam seluas 15 ekar.

Peruntukan untuk cadangan projek ini akan disumbang bersama oleh kerajaan Perikatan Nasional di persekutuan dengan jumlah RM450 juta dan Pakatan Harapan Selangor di peringkat negeri.

Sekarang kita boleh bertanya, dengan tindakan Anwar “membatalkan kelulusan” adakah beliau berunding dengan kepimpinan Pakatan Harapan Selangor, negeri yang saban tahun dilanda banjir yang semakin teruk?

Perikatan Nasional yakin dan percaya prinsip ketelusan pentadbiran tidak terjejas ketika kami memerintah, malah ia ditambah baik dengan pengurangan karenah birokrasi kerana Malaysia ketika itu dilanda pelbagai musibah- daripada pandemik Covid-19 sehinggalah kesan perubahan iklim yang tidak pernah dihadapi negara sebelumnya.

Soalnya sekarang, di bawah pentadbiran Kerajaan Campuran PH-BN, adakah kita akan kembali kepada proses bermesyuarat berpanjangan tanpa keputusan segera dalam isu mendesak sehingga menjejaskan kebajikan rakyat dan kemaslahatan negara? – 9 Disember, 2022.        

* Dr Afif Bahardin merupakan Adun Seberang Jaya dan juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen