BEBERAPA pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam hukuman mati ke atas seorang artis berusia 23 tahun yang disabitkan bersalah kerana menyertai protes di Iran.
Hukuman gantung terhadapnya dijalankan pada pagi semalam selepas sebuah mahkamah di Tehran mendapati dia bersalah kerana “melancarkan perang menentang Tuhan.”
Setakat ini 12 individu dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah kerana menyertai “melancarkan perang menentang Tuhan” dan “rasuah di bumi,” lapor Agensi Anadolu.
Menurut pakar berkenaan hukuman mati tanpa perbicaraan undang-undang yang sewajarnya adalah tidak adil dan menggesa Iran mewujudkan moratorium hukuman mati untuk memansuhkan hukuman ini.
“Kami bimbang dengan nasib artis Iran yang telah didakwa atas tuduhan yang membawa kepada hukuman mati,” kata pakar itu.
Sebelum ini penyanyi rap Saman Yasin dilaporkan dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah pada 29 Oktober.
Protes di Iran itu mula tercetus kerana membantah kematian seorang wanita Mahsa Amini berusia 22 tahun yang dipercayai maut ketika berada dalam tahanan polis.
Setakat ini korban akibat protes itu sudah mencecah 458 orang, menurut kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Norway.
“Sekurang-kurangnya 458 orang termasuk 63 kanak-kanak dan 29 wanita telah terbunuh dalam rusuhan yang masih berterusan seluruh negara.
“Hak Asasi Manusia Iran menganggap hukuman mati terhadap penunjuk perasaan mencabuli hak asasi manusia dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak sewajarnya,” kata kumpulan Hak Asasi Manusia Iran pada Rabu.
Kementerian Dalam Negeri Iran pada minggu lalu turut mengesahkan bahawa beribu-ribu orang ditahan manakala lebih 200 orang meninggal dunia. – Bernama, 9 Disember, 2022.
Komen