KDN nafi keadaan tahanan di depoh Kimanis akibat layan buruk, kata Saifuddin


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata keadaan susuk badan tahanan yang susut di depoh Kimanis tidak berpunca daripada tempoh tahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2022.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan keadaan tahanan dalam depoh Kimanis di Sabah adalah akibat layanan buruk oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menterinya Saifuddin Nasution berkata pihaknya sudah mendapat maklumat gambar dan video yang tular mengenai kejadian tahanan di depoh berkenaan.

“Pertama, kita tengok subjek yang terlibat, itu bukan seorang rakyat biasa yang amalkan gaya hidup sihat.

“Ini adalah kegiatannya sebelum ditahan dan dimasukkan ke depoh yang menyebabkan fizikal badan dia susut,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Sebelum itu Saifuddin diberi taklimat mengenai pengoperasian JIM dan isu berkaitan oleh Ketua Pengarah JIM, Khairul Dzaimee Daud.

Menurutnya keadaan susuk badan tahanan yang susut itu tidak berpunca daripada tempoh tahanan.

“Tahanan itu sudah susut sejak ditahan lagi, bukan akibat layanan dalam tempoh tahanan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pemeriksaan mengejut akan diadakan di depoh berkenaan Saifuddin berkata, itu adalah amalan biasa yang dilakukan jabatan itu.

“Itu memang satu amalan biasa yang dijalankan JIM.

“Pemeriksaan dijalankan secara berkala di semua depoh Imigresen di seluruh negara,” katanya.

Semalam tular satu rakaman video dan gambar beberapa gambar lelaki yang kelihatan kurus kering merayu meminta bantuan untuk dibebaskan daripada tahanan di depoh Kimanis. 

Klip video dan gambar itu ditularkan oleh pemilik akaun Facebook bernama Datz Ganang. 

Dalam klip berdurasi 90 saat itu seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Salomon merayu kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan pengarah Imigresen negeri SH Sitti Saleha Habib Yusoff untuk membebaskan mereka. 

“Saya di sini hampir setahun. Ada lagi yang sudah dua tiga tahun di sini. Berapa lama kami akan ditahan di depoh ini? 

“Kami tidak mendapat makanan dan minuman yang mencukupi dan disebabkan itu badan kami kurus. 

“Badan kami pun gatal-gatal. Apabila kami merayu meminta ubat daripada pegawai Imigresen, kami tidak dilayan,” kata Salomon dalam klip video itu.  – 9 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen