Celine Dion batal konsert, dedah hidap penyakit gangguan saraf


Celine Dion terpaksa mengambil keputusan menangguhkan konsert jelajah Eropah selepas disahkan mengalami penyakit gangguan saraf. – Gambar EPA, 9 Disember, 2022.

DIVA pop Celine Dion semalam dengan sebak mendedahkan beliau mengalami “Stiff-Person Syndrome”, gangguan neurologi yang jarang berlaku yang menjejaskan nyanyiannya, dan berkata terpaksa membatalkan atau menangguhkan beberapa siri persembahan Eropah.

Dalam video lima minit yang disiarkan di Instagram dalam bahasa Perancis dan Inggeris, Dion yang jelas beremosi berkata beliau mengalami masalah kesihatan itu sejak sekian lama.

“Baru-baru ini saya didiagnosis dengan gangguan neurologi yang sangat jarang ditemui yang dikenali Stiff-Person Syndrome, yang dialami satu dalam sejuta orang,” katanya.

Ia menyebabkan kekejangan yang “menjejaskan setiap aspek kehidupan harian saya, kadangkala menyebabkan kesukaran berjalan dan tidak membolehkan saya menggunakan pita suara saya untuk menyanyi seperti biasa,” katanya.

“Sangat menyakitkan untuk saya memberitahu anda hari ini yang ia bermakna saya tidak akan bersedia untuk memulakan semula jelajah saya di Eropah pada Februari.”

Dion, yang berusia 54 tahun, berkata beliau disokong oleh anak-anaknya dan sepasukan doktor yang bekerja setiap hari untuk memperbaiki keadaannya, tetapi menambah: “Saya harus mengakui, ia adalah satu perjuangan.”

Dion mula menyebut mengenai masalah dialaminya apabila menangguhkan jelajah Eropahnya awal tahun ini.

Stiff-Person Syndrome (SPS) menyebabkan kekejangan otot, biasanya antara umur 30 hingga 60 tahun. Gejala boleh terus stabil dalam sesetengah kes, tetapi menjadi semakin teruk pada yang lain.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan AS, ia memberi kesan dua kali ganda kepada wanita berbanding lelaki.

Jika tidak dirawat, SPS berpotensi menyebabkan kesukaran berjalan dan memberi kesan ketara kepada keupayaan seseorang untuk melakukan tugas harian rutin.

Walaupun punca sebenar sindrom ini tidak diketahui, ia dipercayai sebagai penyakit autoimun dan kadangkala berlaku dengan penyakit autoimun yang lain. – AFP, 9 Disember, 2022.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen