POLIS Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Khamis yang mereka menggunakan ujian DNA moden dan analisis genealogi untuk mengenal pasti seorang budak lelaki yang ditemui mati dalam kotak kadbod di Philadelphia lebih 65 tahun lalu.
Kes “Budak Lelaki dalam Kotak” adalah salah satu pembunuhan yang tidak dapat diselesaikan paling terkenal di bandar raya Pantai Timur itu.
Pada sidang akhbar, Pesuruhjaya Polis Philadelphia Danielle Outlaw menamakan kanak-kanak itu sebagai Joseph Augustus Zarelli.
Mayatnya yang dipukul teruk ditemui dibalut dengan selimut di dalam kotak di kawasan hutan Philadelphia pada Februari 1957.
“Budak lelaki itu kelihatan kurang zat makanan, dan tubuhnya mempunyai tanda trauma baru dan lama. Dalam hidupnya yang sangat singkat, nampaknya kanak-kanak ini mengalami kengerian yang tidak tidak sepatutnya dialami oleh sesiapa pun,” kata Outlaw kepada pemberita.
Bedah siasat menyimpulkan budak lelaki itu berusia antara empat dan enam tahun tetapi tiada siapa yang pernah tampil untuk menuntut mayatnya, dan ratusan tips dan petunjuk gagal mengenal pasti identitinya.
Zarelli pada mulanya dikebumikan di tapak perkuburan individu yang tidak dikenali atau tidak dituntut.
Mayatnya digali pada penghujung 1990-an dan dikebumikan semula di tanah perkuburan bersama batu nisan yang bertulis “Kanak-kanak Amerika yang tidak dikenali”.
Ujian DNA dilakukan ketika itu tetapi gagal mengenal pastinya, kata kapten polis Jason Smith kepada pemberita.
Polis menggali semula mayatnya pada 2019 berikutan perkembangan teknik forensik baharu, kata Smith.
Keputusan ujian dimuat naik ke pangkalan data DNA dan dianalisis oleh pakar geneaologi, yang dapat membantu polis mengenal pasti saudara-mara di sebelah ibu kanak-kanak itu, tambah Smith.
Pakar geneaologi mengesahkan ibu kandung Zarelli, dan detektif menemui rekod kelahiran untuk anaknya yang dilahirkan pada 1953.
Rekod itu juga menyenaraikan nama bapa. Ujian DNA ke atas saudara-mara kemudian mengesahkan identiti bapa, membuakan pakar geneaologi yakin Zarelli dilahirkan pada 13 Januari 1953.
Smith tidak mengenal pasti ibu bapa tetapi berkata kanak-kanak itu mempunyai “beberapa adik-beradik” yang masih hidup.
Polis berharap penemuan dalam kes itu akan membantu pegawai mengenal pasti suspek.
“Ini masih merupakan penyiasatan pembunuhan yang aktif dan kami masih memerlukan bantuan orang ramai dalam mengisi kisah hidup kanak-kanak ini,” kata Outlaw.
Misteri identiti kanak-kanak malang itu “menghantui” komuniti penguatkuasa undang-undang selama beberapa dekad, katanya. – AFP, 9 Disember, 2022.
Komen