SEORANG pembunuh bersiri dihukum mati oleh mahkamah Bangladesh pada Rabu atas jenayah menyeksa dan membunuh seorang wanita dan kemungkinan tujuh yang lain, kata pihak berkuasa.
Ini kali kedua Rosu Khan dihukum bunuh selepas mahkamah lain pada 2015 menghantar dia ke tali gantung kerana membunuh wanita lain.
Pihak pendakwaraya dalam kes terbaru berkata Khan dan dua rakan subahatnya menggoda wanita berusia 35 tahun ke satu tempat sunyi di mana mangsa kemudiaannya dirogol, diseksa dan dibunuh.
“Ia merupakan pembunuhan yang kejam,” kata Pendakwaraya Habibul Islam Talukder dari Chandpur, daerah selatan di mana tribunal khas mendengar kes berkenaan.
Khan, 46, boleh merayu keputusan itu di mahkamah tinggi. Manakala, sabitan pada 2015 masih dalam rayuan.
Talukder berkata Khan juga menghadapi pertuduhan membunuh tujuh wanita lain yang mana mayatnya sudah ditemukan, dan pernah memberitahu magistret semasa proses siasatan yang dia adalah dalang dalam kes pembunuhan sekurang-kurangnya 11 wanita.
Kebanyakan mangsa bekerja di kilang membuat pakaian dan digoda ke kawasan sunyi sebelum dibunuh, kata pendakwaraya.
Penyiasat sebelum ini berkata Khan akan membina kepercayaan mangsa dengan tipu helah romantik.
“Dia memberitahu kami yang dia mahu membunuh sekurang-kurangnya 101 wanita sebagai melunaskan dendam terhadap seorang wanita yang menolak pelawaannya 15 tahun lepas,” kata Inspektor Polis Chandpur Ranjit Kumar Palit kepada AFP selepas penahanan Khan pada 2009.
Polis percaya Khan melakukan pembunuhan bersiri itu sejak 2007. – AFP, 7 Mac, 2018.
Komen