SEBANYAK 36 mayat ditemui di kompleks kasino Manila selepas lelaki bersenjata yang memulakan kebakaran di dalam bangunan membunuh diri, kata ketua polis tempatan hari ini.
“Menurut biro kebakaran, dianggarkan 34 mati,” kata Ketua Penguasa Tomas Apolinaro memberitahu CNN Filipina.
Polis sebelum ini berkata, lelaki yang melepaskan tembakan senapang automatik di dalam sebuah kasino di ibu negara Filipina berkemungkinan hanya perompak tidak waras.
Orang ramai berlari sambil menjerit dari Resorts World Manila, yang terletak di seberang jalan di salah satu terminal utama lapangan terbang antarabangsa di Filipina, selepas seorang lelaki melepaskan tembakan rifel M4 kata Ketua Polis Ronald dela Rosa.
Lelaki itu tidak mencederakan sesiapa tetapi 53 orang dilaporkan cedera ketika menyelamatkan diri daripada rempuhan dan asap, manakala seorang pengawal keselamatan tidak sengaja tertembak dirinya sendiri dalam keadaan panik, kata Dela Rosa.
Lelaki bersenjata itu menghilangkan diri dalam keadaan huru-hara yang dipenuhi asap dan orang ramai yang berlari keluar menyelamatkan diri, yang membawa kepada pemburuan di seluruh kompleks kasino, hotel dan pusat membeli-belah yang berakhir selepas subuh.
Dela Rosa awalnya berkata polis membunuh penyerang yang bersembunyi di sebuah bilik hotel, tetapi kemudian memberitahu pemberita lelaki itu membunuh diri.
“Dia terbaring di atas katil, menyelimutkan dirinya dengan selimut tebal, dan seperti mencurahkan petrol pada selimut dan membakar dirinya sendiri,” kata Dela Rosa.
Sebelum lelaki bersenjata itu terbunuh dan polis mengesahkan sebarang motif, kumpulan militan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab dan Presiden Amerika Donald Trump juga melabelnya sebagai “serangan pengganas”.
Dela Rosa bagaimanapun berkata, kejadian kemungkinan besar rompakan yang tidak berjaya, menegaskan lelaki itu tidak menembak sesiapa dan hanya mencuri cip judi.
“Buat masa ini, kita boleh mengatakan ia tindakan keganasan. Tiada unsur keganasan, ancaman atau ugutan yang membawa kepada keganasan.”
Dela Rosa berkata lelaki itu nampaknya bertindak sendirian, berjalan ke salah satu bilik judi dan menembak skrin televisyen besar, kemudian mencurahkan petrol ke meja judi dan membakarnya.
Beliau berkata lelaki itu kemudian melepaskan lagi tembakan di bilik simpanan cip judi dan mengisinya dalam beg dengan cip bernilai 113 juta peso (RM9.74 juta).
Lelaki itu meninggalkan bilik dan naik ke tingkat atas hotel, tetapi meninggalkan beg galasnya berhampiran bilik stok, menurut Dela Rosa.
Ketua Polis Manila Oscar Albayalde juga menegaskan ia bukan satu serangan pengganas.
“Ia adalah satu rompakan dan kemungkinan besar dilakukan oleh seseorang yang tidak waras,” kata Albayalde kepada pemberita di luar kasino.
Dela Rosa berkata 18 daripada 54 orang yang cedera berada di hospital dan yang lain hanya mengalami kecederaan kecil.
Beliau tidak pasti keadaan pengawal keselamatan yang tidak sengaja menembak dirinya sendiri.
Ketakutan
Orang ramai di dalam kasino menceritakan perasaan ketakutan semasa tembakan berlaku.
“Saya baru sahaja kembali ke tingkat dua selepas berehat apabila melihat orang berlari. Ada tetamu hotel menjerit ‘Isis’,” kata Maricel Navaro, pekerja di Resorts World, memberitahu radio DZMM.
Isis adalah satu lagi nama singkatan bagi kumpulan IS.
“Tetamu menjerit. Kami pergi ke bilik bawah tanah dan bersembunyi di sana. Orang ramai menjerit, tetamu dan pekerja berada dalam keadaan panik,” kata Navaro.
“Apabila kami terbau asap, kami mengambil keputusan keluar di tempat letak kereta. Di situ kami dapat keluar. Sebelum keluar, kami mendengar dua bunyi tembakan dan ada asap tebal di tingkat bawah.”
Presiden Filipina Rodrigo Duterte melaksanakan undang-undang tentera minggu lalu di rantau selatan Mindanao ekoran ancaman yang IS yang semakin meningkat di sana.
Beliau mengisytiharkan undang-undang tentera sejurus selepas serangan militan di bandar selatan Marawi, kira-kira 800 kilometer di selatan Manila.
Pasukan keselamatan masih melakukan operasi terhadap militan di Marawi, dan pertempuran di sana menyebabkan sekurang-kurangnya 171 orang terkorban.
Duterte berkata minggu lepas mungkin perlu mengisytiharkan undang-undang tentera di seluruh seluruh negara jika ancaman keganasan merebak.
Pemberontakan pemisah Islam di selatan Filipina membunuh lebih daripada 120,000 orang sejak tahun 1970-an.
Kumpulan pemberontak Islam utama menandatangani perjanjian dengan kerajaan yang bertujuan mengekalkan keamanan, meninggalkan hasrat pemisahan sebagai balasan autonomi.
Bagaimanapun, pelbagai kumpulan militan tegar menolak proses damai dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berusaha bersatu di belakang IS. – AFP, 2 Jun, 2017.
Komen