PRESIDEN Korea Selatan Moon Jae-In pada Rabu berkata masih terlalu terlalu awal untuk bersikap optimistik terhadap tawaran Korea Utara untuk berunding dengan Amerika Syarikat tentang pelucutan senjata nuklear.
“Kami baru di garisan permulaan,” kata Moon kepada pemimpin parti politik selepas mengadakan lawatan bersejarah ke ibu negara Korea Utara, Pyongyang.
Beliau menafikan dakwaan terdapat perjanjian di belakang tadbir dengan Pyongyang bagi mendapatkan persetujuan negara itu untuk berunding dengan AS.
“Tidak ada sebarang perjanjian belakang tadbir yang dilakukan dengan Korea Utara,” Moon dipetik sebagai berkata oleh jurucakap Parti Bareumirae.
“Tidak ada sebarang hadiah ditawarkan kepada Korea Utara,” tegas Moon.
Pemimpin Korea Selatan itu menegaskan kepentingan untuk mengekalkan hubungan rapat dengan AS atas faktor keselamatan sambil menambah: “Bagi saya perbincangan tentang pelucutan senjata nuklear itu hanya boleh dilaksanakan jika Korea Selatan dan AS mempunyai pendirian yang sama” terhadap isu itu.
Beliau turut memberi jaminan yang tekanan dan sekatan tidak akan dihentikan susulan dialog antara kedua-dua negara Korea itu.
“Perbincangan antara kedua-dua negara korea tidak memadai untuk keamaan dapat dicapai,” ujarnya. – AFP, 7 Mac, 2018.
Komen