IRAN pada Khamis telah melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang disabitkan bersalah mencederakan anggota pasukan separa tentera, kata badan kehakiman.
Ia merupakan hukuman mati pertama selepas hampir tiga bulan protes.
“Mohsen Shekari, seorang perusuh yang menghalang Sattar Khan Street di Tehran pada 25 September dan mencederakan salah seorang pengawal keselamatan dengan parang, telah dihukum mati pagi ini,” menurut laman web badan kehakiman Mizan Online.
Iran dilanda protes sejak tiga bulan selepas Mahsa Amini meninggal dunia dalam tahanan. Beliau ditangkap polis moral di Tehran kerana didakwa melanggar kod pemakaian hijab di republik Islam itu.
Pihak berkuasa, yang bergelut membendung protes, menyifatkan mereka sebagai “rusuhan” yang dicetuskan oleh musuh ketat Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya, termasuk Britain dan Israel.
Mahkamah revolusi di Tehran diberitahu Shekari telah ditangkap selepas memukul anggota pasukan separa tentera Basij di bahu, kecederaan yang memerlukan 13 jahitan, kata Mizan Online.
Badan kehakiman berkata Shekari didapati bersalah melawan dan mengeluarkan senjata “dengan niat membunuh, menyebabkan keganasan dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat”.
Ia mensabitkan kesalahan “moharebeh” – atau melancarkan “peperangan melawan Tuhan” di bawah undang-undang syariah Islam Iran – pada 1 November, kata Mizan, menambah dia merayu keputusan itu tetapi mahkamah mengekalkannya pada 20 November.
Basij merupakan pasukan sukarelawan yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
Mahkamah Iran pada Selasa menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap lima orang kerana membunuh seorang anggota Basij. – AFP, 8 Disember, 2022.
Komen