Menteri EU akan putuskan kemasukan Crotioa, Bulgaria, Romania ke Schengen


MENTERI-MENTERI dalam negeri Kesatuan Eropah (EU) berada di Brussels pada Khamis untuk memutuskan sama ada menerima Bulgaria, Romania dan Croatia sebagai negara anggota Schengen dengan Croatia mempunyai peluang terbaik, lapor dpa.

Bulan lepas, Suruhanjaya Eropah menggesa membenarkan ketiga-tiga negara itu menyertai kawasan Schengen tanpa pasport Eropah, namun tidak semua negara anggota menyokong cadangan berkenaan.

Canselor Austria Karl Nehammer pada Selasa mengulangi kenyataan yang kerajaannya bersedia menyokong penyertaan Croatia, namun mengundi menentang Romania dan Bulgaria atas kebimbangan penghijrahan yang tidak teratur.

Pada Oktober, Parlimen Belanda menerima pakai resolusi meminta analisis lanjut mengenai fungsi kedaulatan undang-undang dan tahap rasuah serta jenayah terancang di Bulgaria dan Romania.

Usaha Bulgaria dan Romania untuk menjadi anggota terhenti sejak 2011.

Semua ahli Schengen mesti sebulat suara meluluskan penyertaan sesebuah negara.

Kawasan Schengen yang mempunyai 26 anggota, sebahagian besarnya menangguhkan pemeriksaan sempadan antara ahlinya dan membenarkan orang ramai melancong, bekerja dan tinggal di negara lain tanpa visa atau permit.

Bulgaria, Romania, Croatia, Ireland dan Cyprus satu-satunya negara EU yang bukan sebahagian kawasan Schengen manakala negara bukan-EU yang menjadi ahli ialah Iceland, Norway, Switzerland dan Liechtenstein. – Bernama, 8 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen