EU mahu kerjasama rapat dengan Asean 


EU dan Asean perlu menekankan kepada kestabilan, multilateralisme, ketenteraman berasaskan orde antarabangsa dan perdagangan yang bebas serta adil. – Gambar AFP, 8 Disember, 2022.

KESATUAN Eropah (EU) mahu terus bekerjasama rapat dengan Asean dalam memajukan lagi kemakmuran ekonomi, keamanan dan keselamatan di rantau Indo Pasifik.

Duta EU ke Asean Igor Driesmans berkata EU dan Asean perlu menekankan kepada kestabilan, multilateralisme, ketenteraman berasaskan orde antarabangsa dan perdagangan yang bebas serta adil.

“Ini amat penting pada ketika ketegangan geopolitik dan persaingan yang semakin meningkat.

“EU mahukan Asean yang kuat dan Asean yang kuat penting kepada pembangunan keselamatan serantau Indo Pasifik,” kata beliau dalam ucapannya menerusi rakaman video pada simposium antarabangsa “EU-Asean At 45: From Dialogue Partnership to Strategic Partnership” di Kuala Lumpur, Rabu.

Simposium dua hari anjuran Centre for Asean Regionalism Universiti Malaya (Carum) itu diadakan sempena 45 tahun hubungan Asean-EU dan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak Asean-EU yang akan berlangsung di Brussels pada 14 Dis.

Driesmans berkata negara anggota Asean terus mengalami pertumbuhan yang kukuh dan rantau itu bersedia muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.

“Kami mahu mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perhubungan dengan Asean. Terdapat banyak potensi dan peluang perdagangan antara EU dan Asean,” kata beliau. 

EU kekal sebagai rakan dagang penting Asean. Menurut statistik Asean, jumlah nilai perdagangan barangan dua hala antara Asean dan EU mencecah AS$268.9 bilion pada 2021, meningkat sebanyak 18.6% tahun ke tahun dari 2020. 

Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari EU ke Asean menokok sebanyak 42.9% pada 2021 pada asas tahun ke tahun dan berjumlah AS$26.5 bilion.

Duta itu berkata Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif Asean-EU (CATA) yang ditandatangani baru-baru ini bakal membuka lebih banyak peluang bagi sektor penerbangan di kedua-dua rantau untuk meningkatkan kesalinghubungan merangkumi pengembangan perdagangan dan perniagaan serta kesalinghubungan dalam kalangan rakyat. 

CATA ialah perjanjian ‘antara blok’ pertama antara Negara Anggota Asean (AMS) dan EU yang membenarkan syarikat penerbangan dari kedua-dua wilayah merentasi ruang udara Asean dan EU.

Menurut Driesmans EU juga berharap untuk membangunkan sinergi antara Strategi EU bagi Kerjasama di Indo Pasifik dan Prospek Asean di Indo Pasifik.

Sementara itu, ahli panel simposium, Profesor Adjung Ekonomi dan Pengajian Pembangunan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Kamal Salih berkata Pelan Tindakan untuk Melaksanakan Perkongsian Strategik Asean-EU (2023-2027), yang ditandatangani Ogos lalu adalah penting dalam menetapkan momentum untuk masa depan hubungan dua hala Asean-EU.

“Jika mereka (EU) boleh menyelesaikan isu minyak sawit, isu Islamofobia, masalah imigresen yang merupakan isu dalaman kepada mereka, saya rasa hubungan kita boleh menjadi sangat kukuh,” kata beliau. 

Beliau juga menjangkakan hubungan Asean dengan EU akan berkembang lebih kukuh berbanding China dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pakar ekonomi itu berkata jika persaingan AS-China berterusan, kemunculan EU sebagai rakan strategik Asean berupaya menjadi penampan kepada konflik sekali gus merintis laluan untuk kerjasama lebih meluas antara kedua-dua blok serantau itu.

Beliau berkata dalam pemulihan pasca pandemik, hubungan Asean-EU mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan lebih kukuh terutamanya dalam sektor teknologi.

“Fasa seterusnya untuk pembangunan pasca Covid sebenarnya adalah teknologi dan EU boleh menjadi sumber penyelesaian teknologi kepada Asean,” kata beliau.

Dalam satu sesi berasingan, bekas Menteri Luar Syed Hamid Albar berkata pada masa hadapan, Asean dan EU mesti pragmatik dalam memanfaatkan potensi perkongsian strategik. 

Beliau berkata sebagai rakan strategik, Asean dan EU harus menjangkakan penglibatan dan perundingan yang lebih mendalam mengenai isu semasa di kedua-dua rantau.

“Hubungan itu mesti ada substance bukan sekadar atas kertas. Kita perlu melangkah dengan melihat sesuatu perkara itu secara lebih terbuka dan bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama lebih erat dalam masa pergolakan ini, terutamanya untuk menangani krisis ekonomi,” kata beliau.

Beliau berkata meskipun kedua-dua pertubuhan berbeza sifat dan ideologi, terdapat perkara yang Asean dan EU boleh saling belajar antara satu sama lain untuk faedah bersama seperti dalam hal berkaitan persekitaran, keamanan dan keselamatan serta usaha membina komuniti.

“Saya fikir satu-satunya pencapaian terbesar Asean ialah keupayaannya untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” tambah Syed Hamid.

EU menjadi rakan dialog Asean pada 1997 dan bersetuju dengan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) pada Julai 2012 sekali gus menjadi pertubuhan serantau pertama kepada TAC.

Pada Dis 2020, Asean dan EU meningkatkan hubungan kepada rakan strategik.

Asean atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dianggotai  Brunei, Kemboja, Filipina, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand,  Vietnam, Laos dan Timor Leste. – Bernama, 8 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen