Presiden Peru digulingkan, ditahan cuba bubar Kongres


Pedro Castillo digulingkan daripada jawatan presiden Peru oleh wakil rakyat dan ditahan semalam dalam negara yang sekian lama berdepan ketidakstabilan politik. – Gambar fail EPA, 8 Disember, 2022.

PRESIDEN Peru Pedro Castillo digulingkan oleh wakil rakyat dan ditahan semalam dalam negara yang sekian lama berdepan ketidakstabilan politik.

Peguam, Dina Boluarte, 60, mengangkat sumpah sebagai presiden wanita pertama Peru hanya beberapa jam selepeas Castillo cuba membubarkan Kongres dalam langkah yang dikritik sebagai cubaan rampasan kuasa.

Castillo berdepan cubaan pendakwaan kali ketiga sejak beliau yang juga bekas sekolah pedalaman menang dalam pilihan raya Peru, 18 bulan lalu.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung, Castillo, 53, mengumumkan beliau akan membubarkan Kongres yang didominasi pembangkang, menguatkuasakan perintah berkurung dan memerintah menerusi dekri.

Ucapan itu dikritik, dengan wakil rakyat berkumpul lebih awal daripada tarikh bahas usul pendakwaan dan meluluskannya menerusi 101 undi berbanding 130 wakil rakyat.

Castillo didakwa atas ketidakcekapan moral untuk menguatkuasakan kuasa, selepas enam siasatan dilancarkan terhadapnya, lima rombakan Kabinet dan protes besar-besaran.

Perlembagaan membenarkan prosiding pendakwaan dilakukan terhadap presiden berdasarkan kepada tuduhan politik, bukan salah laku – menjadikan pendakwaan adalah perkara biasa di Peru.

Castillo ditahan petang semalam, kata penyelaras pasukan pendakwaan, Marita Barreto.

Sumber berkata Castillo ditahan atas siasatan pemberontakan.

Castillo adalah presiden ketiga sejak 2018 disingkir mengikut peruntukan “ketidakcekapan moral” dalam perlembagaan.

Dalam tempoh dua jam, Boluarte mengangkat sumpah di hadapan Kongres untuk meneruskan penggal Castillo, hingga Julai 2026. – AFP, 8 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen