Rakyat Australia marah pembuat bom tragedi Bali dibebaskan


MANGSA yang terselamat dalam insiden bom di Bali pada 2002 berang apabila salah seorang pembuat bom terbabit dibebaskan dari penjara Indonesia selepas menjalani hukuman 10 tahun daripada 20 tahun dijatuhkan terhadapnya.

Umar Patek adalah salah seorang ahli kumpulan yang kaitan dengan Al-Qaeda, meletupkan dua bom di luar kelab malam di Bali pada Oktober 2002 yang menyebabkan 202 terbunuh – termasuk 88 rakyat Australia.

Umar dibebaskan dengan parol semalam, kata pihak berkuasa Indonesia, walaupun kerajaan Australia berkali-kali merayu dia terus dipenjarakan.

Mangsa terselamat, Peter Hughes yang memberi keterangan pada perbicaraan Umar pada 2012, berkata ekstremis itu layak menerima hukuman paling keras.

“Kelakar bila dia dibebaskan,” katanya kepada stesen televisyen Australia, ABC.

Pihak berkuasa Indonesia berkata mereka percaya Umar insaf dan berubah sepanjang menjalani hukuman di penjara dan selesai menjalani program deradikalisasi.

Umar berkata beliau mahu membantu rakan lain untuk deradikalisasi.

Timbalan Perdana Menteri Australia Richard Marles menggesa Indonesia memastikan Umar sentiasa dipantau.

Ratusan mangsa terselamat dan waris mangsa tragedi bom itu berkumpul di Bali dan Australia pada Oktober bagi memperingati ulang tahun ke-20 serangan keganasan paling teruk di Asia Tenggara itu. – AFP, 8 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen