PBB rayu negara maju sumbang dana bantu lindungi biodiversiti


Setiausaha Agung (PBB) António Guterres berkata negara maju perlu beri sokongan kewangan yang kukuh kepada negara di Selatan Global yang melindungi kekayaan alam semula jadi dunia. – Gambar EPA, 8 Disember, 2022.

NEGARA maju mesti memberikan sokongan kewangan yang kukuh kepada negara-negara di Selatan Global yang melindungi kekayaan alam semula jadi dunia, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres di Montreal.

Berucap pada pembukaan mesyuarat ke-15 Persidangan Pihak-pihak (COP15) PBB mengenai Kepelbagaian Biologi, Guterres berkata institusi kewangan antarabangsa dan bank pembangunan pelbagai hala mesti menyelaraskan portfolio mereka dengan pemuliharaan dan penggunaan biodiversiti secara mampan, lapor Xinhua.

“Kita tidak boleh mengharapkan negara membangun untuk memikul beban itu bersendirian,” katanya.

Setiausaha agung itu juga menggesa pelaksanaan pelan negara yang akan mengalihkan subsidi dan pelepasan cukai daripada aktiviti yang boleh memusnahkan alam semula jadi serta mengiktiraf dan melindungi hak Orang Asli dan masyarakat tempatan.

Beliau berkata sektor swasta wajar mengiktiraf bahawa keuntungan dan perlindungan perlu berjalan seiring.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengumumkan Kanada akan memberi sumbangan baharu sebanyak 350 juta dolar Kanada (AS$256 juta) untuk menyokong negara membangun dalam menjalankan usaha pemuliharaan. – Bernama, 8 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen