PENERBIT buku kontroversi “Allah, Kebebasan dan Cinta”, Ezra Zaid berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya mengenai tindakan lanjut yang akan diambil selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonannya mencabar pihak berkuasa agama berhubung rampasan buku tersebut.
Keputusan mahkamah hari ini tidak memihak kepada pemilik Zi Publication itu dan beliau dikehendaki membayar kos perbicaraan sebanyak RM10,000.
“Saya masih berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya,” kata Ezra ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Anak kepada ahli politik DAP, Zaid Ibrahim itu dibicarakan di Mahkamah Syariah Selangor pada 22 Februari lalu kerana menjual dan mengedar 180 buah buku penulis Kanada, Irshad Manji yang diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta”.
Kes itu bermula apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 29 Mei 2012 menyerbu pejabat ZI Publications dan merampas buku tersebut.
ZI Publication dan Ezra kemudiannya memfailkan semakan kehakiman pada 9 Julai 2012 terhadap enam pihak, Jais, pengarahnya, ketua pegawai penguatkuasa agama Selangor, ketua pendakwaraya Shariah Selangor, kerajaan Selangor dan kerajaan Malaysia bagi mencabar sahsiah rampasan itu dan kesahihan Seksyen 16 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.
Hakim Kamaludin Md Said hari ini dalam penghakimannya berkata, tindakan Jais merampas buku daripada ZI Publication pada 2012 adalah sah.
Ezra dan ZI Publications turut memfailkan rujukan secara berasingan kepada Mahkamah Persekutuan mempersoalkan kecekapan Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menggubal Seksyen S16 selaras dengan Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 7 Mac 2013, Ezra didakwa di bawah Seksyen 16 kerana menerbit dan mengedarkan buku Irshad dan memiliki 180 salinan buku berkenaan.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – 7 Mac, 2018.
Komen