PERIKATAN pemerintah di Nepal gagal memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan baharu selepas keputusan pilihan raya diumumkan pada malam semalam.
Kongres Nepal yang mengetuai perikatan pemerintah muncul sebagai blok terbesar dalam Dewan Rakyat dengan memperoleh 89 kerusi, diikuti parti pembangkang utama Parti Komunis Nepal (Unified Marxist Leninis) dengan 78 kerusi, lapor Xinhua.
Sementara itu Parti Komunis Nepal (Maoist Center) menduduki tempat ketiga dengan 32 kerusi.
Perikatan pemerintah itu turut dianggotai Parti Komunis Nepal (Unified Socialist) yang memperoleh 10 kerusi manakala Parti Loktantrik Samajbadi (empat kerusi) dan Rastriya Janamorcha yang membentuk pakatan dengan empat parti pemerintah pada pilihan raya umum 20 November mempunyai satu kerusi.
Secara keseluruhan perikatan pemerintah memperoleh 136 daripada 275 kerusi dalam Dewan Rakyat dan memerlukan dua lagi kerusi untuk membentuk kerajaan baharu.
Nepal mengguna pakai sistem pilihan raya bercampur iaitu 60% wakil dewan rakyat dipilih melalui sistem pilihan raya manakala baki 40 peratus lagi diisi melalui sistem perwakilan berkadar. – Bernama, 7 Disember 2022.
Komen