Jumlah kematian tanah runtuh di Itali meningkat kepada 12


Tanah runtuh berlaku di bandar kecil Casamicciola Terme pada 26 November berikutan hujan lebat memusnahkan rumah dan menghanyutkan kereta hingga ke laut. – Gambar AFP, 7 Disember, 2022.

PASUKAN penyelamat semalam menemui mayat mangsa terakhir yang hilang selepas berlakunya tanah runtuh di pulau Ischia di Itali bulan lalu, menjadikan jumlah kematian kepada 12.

Tanah runtuh berlaku di bandar kecil Casamicciola Terme pada 26 November berikutan hujan lebat memusnahkan rumah dan menghanyutkan kereta hingga ke laut.

Bomba menerusi Twitter memuat naik gambar penyelamat sedang berusaha mencari mangsa yang masih hilang di kawasan lumpur dan tanah runtuh berkenaan dengan menyatakan beberapa mayat sudah ditemui.

Media Itali melaporkan mangsa terakhir yang ditemui ialah seorang wanita berusia 31 tahun.

Ahli geologi memberi amaran risiko cuaca buruk menyebabkan tanah runtuh di bahagian pulau itu yang terletak berhampiran Capri dan dipenuhi pelancong pada musim panas.

Pada Jumaat pihak berkuasa memindahkan lebih 1,000 orang dari kawasan berisiko berikutan amaran hujan lebat.

Ramai yang masih berada di hotel semalam menunggu kebenaran untuk pulang ke rumah, lapor media.

Pakar berkata bencana pada November disebabkan oleh aktiviti penebangan hutan, pembangunan berlebihan dan kekurangan strategi mitigasi. – AFP, 7 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen