Pakatan, BN, GPS boleh jadi gabungan besar, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Penganalisis politik berkata persefahaman yang mengikat gabungan dalam kerajaan perpaduan harus kekal supaya ia memberi manfaat kepada negara untuk jangka masa panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2022.

PAKATAN Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mustahil akan terus menjadi gabungan besar yang akan memberi manfaat kepada negara untuk jangka masa panjang, kata penganalisis politik.

Mereka berkata persefahaman yang mengikat tiga gabungan itu harus kekal supaya kerajaan perpaduan yang dibentuk ketika ini berjaya, tidak seperti yang berlaku kepada Perikatan Nasional (PN) dan BN sebelum ini.

Penganalisis berpandangan demikian susulan kenyataan Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang berkata kerjasama antara gabungan parti politik yang terlibat harus dikekalkan untuk tempoh yang lebih lama berbanding lima tahun demi mencapai Malaysia yang gemilang.

“Insya-Allah kerjasama ini bukan lima tahun, bukan 10 tahun, bukan 15 tahun, atas keikhlasan kita akan bekerjasama dalam satu pasukan sebagai ‘the grand coalition’.

“Antara parti-parti yang bergabung untuk membentuk sebuah negara yang lebih gemilang dan saya amat yakin jika trend ini dapat kita pertahankan, jika penyatuan dan perpaduan ini dapat kita teruskan, insya-Allah Malaysia akan lebih gemilang,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mengulas hal ini, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar memberitahu The Malaysian Insight walau idea itu tidak mustahil untuk direalisasikan perkara itu harus dibincangkan pucuk pimpinan setiap parti dalam kerajaan perpaduan terlebih dahulu.

“Perkara ini mesti dibawa ke pucuk pimpian parti. Jadi mereka perlu berbincang di peringkat tertinggi sebelum gabungan besar boleh dibentuk secara rasmi.

“Kalau tidak ia akan bersifat sementara seperti yang berlaku antara PN dan BN, mereka akan berlawan sesama sendiri dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir berkata gabungan parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan akan memeterai satu perjanjian tidak lama lagi bagi memastikan kerajaan yang tertubuh terus kukuh.

“Ia akan ditandatangani dalam sedikit masa lagi apabila semua pihak yang terbabit dapat mendalami perkara yang telah dibincangkan.

“Kita mengharapkan segala-galanya dapat disempurnakan dalam tempoh yang terdekat.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita mencapai perjanjian ini… semua pihak bersama-sama, itu yang mustahak. Jika tidak kita tidak akan gabungan seperti ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Hisomuddin berkata persefahaman antara PH, BN, dan GPS dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membantu tiga gabungan utama itu berdepan PN pada pilihan raya umum akan datang.

“PH kuat di kawasan bandar dan kawasan campuran, manakala BN di kawasan majoriti Melayu dan luar bandar sementara GPS di Sarawak. Jadi pada saya tiada masalah untuk mereka bersetuju membentuk gabungan yang kukuh.

“Ini perlu bagi mereka menentang PN yang di luar jangkaan menang banyak kerusi dalam PRU15. Kalaugagal untuk terus bekerjasama maka mereka pasti akan berdepan banyak masalah untuk melawan PN,” jelas Hisomuddin.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PH, BN dan GPS masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, jadi tiada masalah untuk membentuk satu gabungan besar.

Katanya, ini diperkuatkan lagi dengan keyakinan Zahid terhadap kepimpinan Anwar, merujuk kepada kenyataan presiden Umno itu semalam.

“Tidak mustahil untuk tiga gabungan utama ini terus bekerjasama. Pendekatan Anwar lebih dinamik. Hal ehwal Sabah dan Sarawak sedang diuruskan, begitu juga golongan miskin, malah kenyataan Zahid menunjukkan BN bersedia memasuki dimensi baharu politik.

“Umno mungkin sedar bahawa parti itu perlu lebih pragmatik. Jika besama PH mereka boleh menarik sokongan semua masyarakat, tidak hanya Melayu. Realiti politik sekarang telah berubah,” menurutnya.

Selain diterajui PH, BN, GPS, kerajaan perpaduan turut dianggotai dan Gabungan Rakyat Sabah, Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan dua ahli parlimen Bebas, menjadikan kerajaan pimpinan Anwar itu mempunyai 145 daripada 222 kerusi parlimen.

Bolehkah akar umbi Umno terima?

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan meskipun bersetuju dengan pandangan Hisomuddin dan Mazlan, idea gabungan besar itu mungkin akan sukar untuk diterima akar umbi Umno.

Katanya, perjanjian antara pucuk pimpinan kebiasaannya tidak akan mencetus masalah tetapi memberi penjelasan kepada akar umbi boleh jadi satu tugas yang berat.

“Bolehkah akar umbi Umno faham keperluan ini (bentuk gabungan besar)? Adakah mereka akan lihat DAP sebagai halangan? Ini mungkin akan jadi masalah bagi DAP kerana mereka banyak bertolak ansur.

“Di peringkat ucuk pimpinan selalunya tiada masalah. Bagi saya idea gabungan besar ini bagus kerana kerajaan sekarang mewakili seluruh rakyat Malaysia, tidak seperti PN yang hanya mewakili satu segmen masyarakat.

“Secara keseluruhannya, saya sendiri berpandangan idea ini bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan demi kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.

Bukan idea bagus

Penganalisis politik Wong Chin Huat dari Universiti Sunway Wong Chin Huat bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza mengenai idea supaya PH, BN dan GPS membentuk satu gabungan besar.

“Dari sudut pandangan pengundi, ini akan mengehadkan pilihan pengundi. Jika dari perspektif parti pula, parti-parti dalam gabungan tidak boleh menentang sesama sendiri dan hanya bertanding di kerusi yang mereka sandang.

“Ini akhirnya akan mengurangkan persaingan terhadap parti yang bukan dalam gabungan tersebut,” katanya.

Wong selain itu berkata di Sarawak GPS dan PH sudah pasti tidak mahu hanya terhad kepada 23 dan 6 kerusi yang masing-masing mereka menangi pada PRU15.

Beliau percaya situasi ini membolehkan PN menguasai kubu kuat Umno. – 7 Disember, 2022. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen