‘Overdose’ dadah meningkat 30% di AS


Hampir dua pertiga kematian akibat dos berlebihan dadah pada 2016 melibatkan opiod perkripsi, opiod haram atau keduanya sekali, yakni bersamaan peningkatan sebanyak 27.7% berbanding 2015. – AFP, 7 Mac, 2018.

EPIDEMIK opiod di Amerika Syarikat mencanak naik sebanyak 30% dari 2016 hingga 2017, dengan peningkatan pengguna dadah seperti heroin, fentanyl  dan ubat tahan sakit yang dimasukkan dalam wad kecemasan.

Pengambilan dos dadah berlebihan itu terjadi di seluruh AS, kata laporan dikeluarkan oleh US Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

“Jauh sebelum kami dapat data daripada sijil kematian, data daripada jabatan kecemasan juga menunjukkan peningkatan merisaukan dalam pengambilan dos opiod berlebihan,” kata pengarah CDC Anne Schuchat.

“Epidemik yang pantas ini merangkumi kaum lelaki dan wanita dalam semua usia. Ia merangkumi semua negeri dan daerah dan masih meningkat di setiap kawasan di AS.”

Laporan itu menunjukkan dari Julai 2016 hingga September 2017, sejumlah 142,557 pesakit yang masuk ke wad kecemasan adalah kerana pengambilan dos belebihan dadah jenis opiod.

Berbanding suku ketiga 2016 dengan suku ketiga 2017, pengkaji mendapati peningkatan sebanyak 29.7% untuk mereka yang dimasukkan ke wad kecemasan kerana opiod.

“Pengambilan dos opiod berlebihan meningkat untuk lelaki dan wanita, dalam semua kumpulan umur dan disemua kawasan,” kata laporan itu.

Peningkatan paling tinggi adalah di kawasan Barat Tengah (69.7%), diikuti kawasan Barat (40.3%).

Bagaimanapun, laporan itu tidak pula menyatakan adakah kematian akibat dos belebihan opiod berlaku sepanjang kajian dilakukan memandangkan data sijil kematian memerlukan masa yang panjang untuk didapatkan.

Pun begitu, pada 2016, seramai 63,632 orang mati kerana pengambilan dos dadah berlebihan di AS, yakni peningkatan sebanyak 21.4% sejak 2015, kata CDC.

Hampir dua pertiga kematian akibat dos berlebihan dadah pada 2016 melibatkan opiod perkripsi, opiod haram atau keduanya sekali, yakni bersamaan peningkatan sebanyak 27.7% berbanding 2015. – AFP, 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen