.jpg)
KITA boleh faham jika wujud “euphoria” yang berlebihan apabila tokoh yang terlalu kita sanjung berada di ruang wewenang sebagai seorang perdana menteri. Kita faham keseronokan dan keterujaan itu.
Kalau boleh, segala-galanya hendak ditiru dan dirujuk kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Sehinggakan sidang media pun bertukar menjadi medan untuk menonjolkan betapa akrab dan pentingnya kita kepada PMO.
Sayangnya, kesederhanaan dan mediocrity dalam tindakan ini sebenarnya memualkan. Adakala seperti kebudak-budakan. Ibarat “kera dapat bunga”. Segala-galanya nampak begitu naif dan tidak profesional. Dalam banyak hal, pengumuman baharu kelihatan lari jauh daripada apa disebutkan sewaktu kempen PRU15 yang baru lalu.
Penulis hanya mengharapkan kerajaan dapat memusatkan fokus dan tumpuan kepada perkara penting yang diumumkan dalam tempoh kempen. Tak usahlah kita merujuk kepada manifesto 98 muka surat. Kerajaan yang ada, tidak kiralah atas namanya “perpaduan”, “campuran” atau apa saja; wajar memberikan tumpuan kepada “10 Keutamaan Tawaran Harapan” sahaja.
Sebagai parti terbesar, seluruh kekuatan “kerajaan perpaduan, campuran dan gabungan” mesti memusatkan kepada 10 keutamaan tawaran harapan ini. Jangan berkalih. Jangan merubah tiang tawaran ini atas kononnya halwa telinga dan sekadar omongan kosong.
Penekanan kepada isu seperti pengurangan jumlah cabutan khas judi, pembatalan projek tebatan banjir – sementara ia kelihatan dan kedengaran elok, populis dan menampilkan kehebatan; namun tidak terlalu memusat kepada “10 Keutamaan Tawaran Harapan”. Kerajaan wajar kembali kepada “teks penting” yang menjadi harapan dan keinginan rakyat.
Apa dia 10 keutamaan yang diangkat sebagai tawaran Harapan: -
* Menangani kos sara hidup
* Perangi rasuah dan kukuhkan institusi demokrasi
* Perkasa peluang ekonomi belia
* Selamatkan generasi tercicir
* Bina ketahanan bencana dan mantapkan perlindungan
* Tangani isu doktor kontrak
* Tangani isu ketaksamaan gender
* Perkasa wilayah Sabah dan Sarawak
* Tingkat daya saing rakyat
* Pelihara khazanah alam
Seelok-eloknya kenyataan dan sebarang komen yang dibuat para menteri mesti melingkari kepada sepuluh tawaran yang dimaksudkan ini. Tidak perlu bergebang soal “political sound bites” ataupun tidak kenyataan yang dibuat sebelum ini. Rakyat yang membaca boleh faham dan tahu membezakan antara kenyataan politik ataupun tidak.
Barangkali yang sedikit merisaukan, tidak ada ‘kerangka penyelesaian awal’ sekalipun mengenai isu seperti kos sara hidup. Yang ada hanya komitmen untuk mendengar usul dan pandangan jentera kerajaan dalam tempoh dua minggu selepas berada di pejabat.
Apakah dengan segala perincian 98 muka surat manuskrip “Kita Boleh!”, semuanya masih di peringkat kajian boleh laksana? Sekurang-kurangnya perlu ada pengumuman yang lebih meyakinkan mengenai 10 tawaran ini.
Daripada 10 tawaran ini – mana satu yang dijadikan prioriti dan keutamaan? Mana satu yang dikemudiankan – kerana bersifat “cuitan telinga” dan tidak lebih daripada itu.
Para menteri yang masih baharu dan muda tidak perlu menunjukkan rasa keterujaan yang melampau sehingga kelihatan sangat palsu dan dungu. Walaupun mungkin mengambil masa sedikit untuk menyesuaikan diri tetapi menjual maruah dengan jenaka yang terlalu murah juga amat mengecewakan.
Rakyat meletakkan kepercayaan dan memberi mandat untuk kalian membawa Malaysia ke hadapan dengan lebih baik, profesional dan berwibawa. Bukan dengan aras perangai dan tindakan yang tidak ketahuan hala.
Berpijaklah di bumi yang nyata dan tidak terus-terusan berasa riang keterlaluan dan angkuh dengan jawatan.
Musim euforia dan bulan madu sudah tamat. Segala tindakan, pandangan dan fiil anda sudah menjadi perhatian rakyat terbanyak. Kenyataan dan pengumuman yang dibuat mestilah mempunyai nafas “kerajaan” dan bukan lagi pembangkang.
Seboleh mungkin, tumpulah kepada usaha pembangunan dan penyelesaian masalah rakyat dan bukannya amalan “budaya pemburuan politik” yang tidak pernah kenal erti tamat. Ini masa dan tempoh tampil kemampuan sebenar sebagai kerajaan.
Walaupun, dalam bahasa Anas Zubedy, “kerajaan campuran yang bersifat kepura-puraan”, pretentious, namun biarlah ia menjadi kerajaan yang berwibawa dan melaksana tawaran dan mengisi pengharapan besar rakyat. Walaupun barangkali kelihatan megah dan pelagak; ia masih kerajaan yang melaksana janji, setidak-tidaknya. – 6 Disember, 2022.
* Rosli Ismail adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen