JUALAN kereta import di Korea Selatan terus melonjak dua digit pada November susulan gangguan bekalan semikonduktor yang digunakan untuk membuat kenderaan berkurangan, menurut data industri semalam.
Bilangan kenderaan import yang dijual di negara itu sekitar 28,222 unit pada November meningkat 50.0% daripada tahun sebelumnya, menurut Persatuan Pengimport & Pengedar Automobil Korea (KAIDA).
Ia mencatatkan peningkatan selepas melonjak 35.2% pada Oktober susulan terdapat permintaan kukuh bagi jenama Jerman dan gangguan bekalan cip yang sederhana, lapor Xinhua.
Pengeluar kereta Jerman Mercedes-Benz menduduki tempat pertama dari segi jualan automotif dengan menjual 7,734 unit kenderaan pada bulan lepas.
BMW sebuah lagi pengeluar kereta Jerman di tangga kedua dengan jualan sebanyak 7,209 unit, diikuti Volvo dengan 2,615 unit, Volkswagen (1,943 unit) dan Audi (1,667 unit).
Bilangan model Eropah yang dijual ialah 24,245 pada November menyumbang 85.9% daripada jumlah jualan.
Jenama AS dan Jepun masing-masing merekodkan 9.0% dan 5.1% bahagian pasaran.
Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini jualan domestik kereta import di Korea Selatan mencecah 253,795 unit, meningkat 0.6% berbanding tempoh sama tahun lalu. – Bernama, 6 Disember, 2022.
Komen