Hilang deposit bukan bermakna tidak boleh beri pandangan


SAYA diberitahu bahawa kerap kali pemimpin, ahli atau penyokong Pejuang dan Gerakan Tanah Air membuat apa-apa komen berkaitan dengan perkembangan politik semasa akan ada yang membalas dengan menyuruh kami diam kerana calon-calon kami hilang deposit di dalam PRU15.

Saya rasa agak hairan dengan sikap tersebut kerana dalam meraikan demokrasi setiap seorang rakyat berhak menyuarakan pandangan tidak kira mereka mewakili parti politik, NGO mahupun orang perseorangan.

Sikap ini juga terlebih menghairankan jika datang dari penyokong Pakatan Harapan yang memperlihatkan diri mereka sebagai reformis yang sudah pasti kebebasan bersuara itu tonggak kepada perjuangan mereka.

Saya tidak percaya bahawa mereka berubah hanya kerana mereka sekarang bersekongkol dengan kleptokrat dari Umno.

Jika kita percaya bahawa setiap pandangan rakyat harus diberi pertimbangan apakah pandangan dari orang yang hilang deposit tidak boleh diterima?

Seharusnya apabila hari ini apa yang didakwa oleh calon-calon dari Pejuang dan GTA bahawa “satu undi untuk Anwar itu bersamaan satu undi untuk Zahid” terbukti benar, seharusnya pandangan kami diberi perhatian, tak banyak sedikit.

Ataupun mungkin suara-suara yang menyuruh kami diam itu tidak dapat menerima kebenaran atau apa yang kita katakan bahawa “the truth hurts”—kebenaran itu pahit.

Kepada penyokong, ahli dan calon-calon Pejuang dan GTA, teruskan menyatakan kebenaran dan berpegang kepada prinsip perjuangan. – 6 Disember, 2022.

* Dr Nurul Ashikin Mabahwi merupakan Ketua Pejuanita Muda Malaysia


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen