BRAZIL lolos ke peringkat suku akhir bola sepak Piala Dunia 2023 di Qatar selepas menang bergaya mengalahkan Korea Selatan 4-1 awal pagi tadi.
Kekalahan Korea Selatan juga menjadikan tiada lagi pasukan Asia yang meneruskan persaingan selepas Jepun sebelum itu kalah kepada Croatia melalui penentuan sepakan penalti.
Brazil akan bertemu Croatia di suku akhir pada 9 Disember ini.
Skuad Samba yang mengenakan jersi utama kuning biru bermain dengan lebih kemas dan terkawal. Biarpun Korea Selatan bermain dengan baik namun nyata Brazil yang mengasak bertalu-talu sepanjang 90 minit permainan bukan saingan mereka.
Brazil unggul pada babak pertama, dengan gol seawal minit ke-7 melalui gerakan cantik Raphinha menembusi kotak penalti Korea Selatan di sebelah kanan sebelum mengumpan bola kepada Vinicius yang tidak dijaga dekat bucu sebelah kiri kotak penalti.
Vinicius yang menerima bola dengan tenang mengambil sedikit masa sebelum melepaskan tendangan deras melepasi empat pemain pertahanan Korea Selatan.
Tidak lama selepas itu, Brazil mendapat hadiah sepakan penalti selepas Richarlison dikasari. Neymar Jr, yang sebelum ini terlepas dua perlawanan kerana cedera, menyempurnakan sepakan dan menambah satu gol untuk pasukannya pada minit ke-13.

Dengan jaringan itu, Neymar sudah menjaringkan 76 gol untuk Brazil – kurang satu gol untuk menyamai rekod jaringan legenda Pele.
Richarlison kemudian menambah satu gol lagi untuk Brazil pada minit ke-29 sebelum Lucas Paqueta menjarakkan kedudukan menjadi 4-0.
Skuad Wira Taeguk bagaimanapun tidak mahu tunduk begitu sahaja. Pada babak kedua, Korea Selatan beberapa kali menembusi benteng pertahanan Brazil yang mula memperlahankan rentak permainan.
Pada minit ke-76, gawang Brazil bolos dengan tendangan kencang Seung Ho Paik dari luar kotak penalti selepas satu sepakan percuma, menjadikan kedudukan 4-1.

Jepun gigit jari lagi
Sementara itu, dalam perlawanan awal, Croatia layak ke suku akhir selepas mengalahkan Jepun 3-1 melalui penentuan sepakan penalti.
Mereka terikat 1-1 pada masa penuh dan kedudukan tidak berubah selepas masa tambahan.
Jepun mendahului Croatia hanya beberapa minit sebelum tamat babak pertama hasil jaringan Daizen Maida sebelum disamakan oleh Ivan Perisic pada awal babak kedua.
Pada penentuan sepakan penalti, Jepun gagal menyempurnakan tiga sepakan penalti sementara Croatia hanya terlepas satu sepakan.
Penjaga gol Croatia Dominic Livakovic beraksi cemerlang menangkis sepakan Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Maya Yoshida sebelum Mario Pasalic mengesahkan pasukannya layak ke suku akhir.

Ini adalah kali keempat Jepun tersingkir pada peringkat 16 pasukan di Piala Dunia, termasuk melalui penentuan sepakan penalti juga pada 2010 semasa menentang Paraguay.
Malam ini empat pasukan akan berentap untuk merebut dua lagi tempat di suku akhir – Maghribi melawan Sepanyol, sementara Portugal berdepan Switzerland. – 6 Disember, 2022.
Komen