PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menggesa polis menyiasat dengan segera semua pihak yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama Islam.
Beliau membuat gesaan itu selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya yang mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan fahaman komunis serta antituhan dalam satu majlis di Temerloh, Pahang, 8 November lalu.
Siasatan dibuat atas laporan polis oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pada 10 November di Kuala Lumpur.
“Saya dipanggil untuk dirakam keterangan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berkaitan beberapa laporan polis yang dibuat serta memberi penjelasan kepada beberapa soalan yang diajukan.
“Kerajaan baru ini sangat proaktif ke atas saya, tapi saya beritahu polis, giliran pihak lain yang sentuh Islam agar disiasat juga, kita tunggu dan lihat nanti,” katanya kepada pemberita di lPD Sentul.
Abdul Hadi turut menyatakan kesediaan dihadapkan ke mahkamah berhubung siasatan ke atasnya.
“Saya sudah bersedia untuk tindakan selanjutnya sama ada ke mahkamah atau sebagainya… kini giliran saya pula disiasat.
“Saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berikutan beberapa laporan polis dibuat ke atas saya dan saya tunggu tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu peguamnya, Wan Rohaimi Wan Daud berkata keterangan Hadi diambil mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Laporan polis dibuat di IPD Sentul, Dang Wangi dan Alor Setar, Kedah dan beliau baru sahaja selesai memberikan keterangan hasil laporan polis itu. Saya tak pasti jumlah laporan yang dibuat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian telekomunikasi,” katanya. – 5 Disember, 2022.
Komen