NEGARA G7 dan Australia menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat untuk mengguna pakai had harga AS$60 setong ke atas minyak Russia, lapor Anadolu.
Satu kenyataan menyatakan EU mengambil langkah yang sama awal hari itu dan negara berkenaan mencapai kata sepakat mengenai harga maksimum AS$60 untuk minyak mentah dasar laut Russia.
“Keputusan ini hari ini merupakan komitmen Pemimpin G7 pada sidang kemuncak di Elmau (Jerman) untuk menghalang Rusia memperoleh keuntungan daripada pencerobohannya ke atas Ukraine, menyokong kestabilan dalam pasaran tenaga global serta meminimumkan limpahan ekonomi negatif perang Russia,” katanya.
Keputusan mengenai had harga produk petroleum yang berasal dari Russia itu berkuatkuasa 5 Februari, katanya.
Negara G7 dan EU sedang berunding untuk mengenakan had harga ke atas minyak Russia. Minggu lepas, G7 mencadangkan harga harga dari AS$65 hingga AS$70 setong.
Suruhanjaya EU mencadangkan had harga ditetapkan sebanyak AS$60 untuk minyak yang diangkut dari Russia melalui laut untuk dipersetujui dalam rundingan antara negara anggota.
Selain itu, EU sedang mengusahakan mekanisme mengehadkan harga baharu yang akan membolehkan penilaian semula dibuat setiap dua bulan.
Mekanisme itu akan memastikan had harga baharu dikekalkan lima peratus di bawah harga pasaran.
Harga itu akan berkuatkuasa 5 Disember selari keputusan EU dalam mengurangkan bekalan minyak mentah dari Russia melalui laut.
Russia mengeluarkan kira-kira 10% daripada pengeluaran minyak dunia.
Sementara itu, pegawai Russia mengumumkan mereka akan menolak untuk menjual minyak kepada negara yang bersetuju dengan harga berkenaan. – Bernama, 5 Disember, 2022.
Komen