Khaled Nordin mahu bawa KPKT ke tahap lebih baik


Mohamed Khaled Nordin memulakan tugas sebagai menteri pendidikan tinggi hari ini. – Gambar Facebook KPT, 5 Disember, 2022.

DASAR-dasar baik yang telah direncanakan oleh pentadbiran terdahulu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan diteruskan, kata menteri baharunya Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata pada masa sama beliau akan turut menumpukan usaha meneroka inisiatif baharu untuk meletakkan sektor pendidikan tinggi negara ke tahap lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kali terakhir saya berada di sini adalah pada tahun 2013. Walaupun orang kata ‘sireh pulang ke gagang’, tapi saya rasa banyak benda (perkara) sudah berubah. Jadi perkara-perkara yang baik tentunya akan saya teruskan.

“Saya juga sedar bahawa selepas negara dilanda Covid-19, banyak perubahan dan cabaran yang dihadapi oleh sektor pengajian tinggi negara. Maka sudah tentu lah kita perlu lihat bagaimana sektor ini boleh menghadapi semua itu,” katanya ketika ditemui selepas memulakan tugas rasmi di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Khaled yang juga ahli Parlimen Kota Tinggi memulakan tugas sebagai menteri pendidikan tinggi hari ini dengan mengimbas kad perakam waktu pada pukul 12.15 tengah hari tadi.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Setiausaha KPT Abdul Razak Jaafar dan dua Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Megat Sany Megat Ahmad Supian (Dasar) dan Mohd Zabri Yusoff (Pengurusan dan Pembangunan).

Ini adalah kali kedua Khaled diberikan tanggungjawab memegang portfolio Pendidikan Tinggi selepas kali pertama menjawatnya pada 2008 di bawah perdana menteri keenam, Najib Razak. – Bernama, 5 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen