-2.jpg)
“MAMPU membina identiti secara bebas, memanfaatkan pelbagai sumber budaya, dan mampu membangunkan warisan dengan cara yang kreatif merupakan asas pembangunan aman dan mampan masyarakat.” – Ketua Pengarah Unesco Audrey Azoulay.
Pada suatu masa dahulu, Bapa Kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman paling dikasihi rakyat jelata. Tunku sememangnya mahukan negara kita yang menjadi salah satu negara paling bahagia di dunia.
Visi Tunku pada 1960 “Dengan perpaduan dan kerjasama, kepercayaan dan toleransi antara satu sama lain, dengan kerja keras dan hati yang terbuka, kita boleh menjadikan negara kita antara yang paling gembira di dunia. Ini adalah impian saya, inilah yang saya pertahankan untuk memastikan keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran untuk Malaya kita yang sangat kita cintai.”
Begitulah seorang wira negara. Impiannya berlainan daripada “mainstream”. Tunku menyuarakan sesuatu yang nampak lekeh dan dangkal hari ini. Seolah-olah hasrat ini tidak lagi penting.
Namun, pemimpin sejati adalah mereka yang berjaya membuat sesuatu yang luarbiasa, berpegang teguh pada prinsip perjuangan dan menyentuh hati rakyat.
Kebahagiaan itu bukan kekayaan. Mahupun kemewahan. Kebahagiaan lebih daripada itu.
Kebahagiaan itu datang dari kasih sayang, kebersamaan. Keyakinan. Jati diri yang luar biasa.
Dari sini mungkin kita dapat mengorak langkah membina perpaduan.
Dunia sastera, seni dan budaya
Minggu ini, saya menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022, anjuran Perlembagaan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bawah pimpinan Mastura Muhamad. Apabila sampai di MBSA Convention Centre, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Khair Ngadiron, sedang memudahcara sesi bersama Jozep Edyanto dari KuBuku Indonesia dan Mastura.
Ketika itu, Josep berkata:“Perdana menteri Malaysia yang baru sangat dekat dengan dunia literasi. Sudah tentu kita ingin melihat industri literasi yang bertambah baik untuk semua.”
Josep sebenarnya menyuarakan harapan ramai rakan dunia penerbitan.
Namun, sejujurnya ini bukan saja terhad kepada dunia penerbitan. Industri kreatif termasuk sektor seni dan budaya memerlukan platform untuk mempamerkan karya mereka yang akan memberi manfaat kepada negara.
Ya, kesan daripada pandemik begitu melumpuhkan. Tetapi jika kita benar-benar mengakui kelemahan, hala tuju pemulihan sektor ini perlu mengatasi inertia sekian lama jauh sebelum Covid.
Unesco menegaskan semasa pandemik 2020, dunia tanpa budaya adalah dunia tanpa masa depan. Seni dan budaya sering “dikepilkan” bersama Kementerian Pelancongan. Kini, tiada lagi bersama. Kita nantikan perancangannya.
Contohi Istanbul
Alhamdulillah, saya baru pulang dari Istanbul selepas ke Pesta Buku Frankfurt. Saya jatuh cinta dengan ibu kota Turkiye, di mana budaya adalah intipati segala-galanya di Istanbul. Landskapnya, penduduknya, makanannya. Adab dan adatnya.
Ekonomi kreatif, yang merangkumi sektor seni dan budaya, menjana nilai monetari dan bukan monetori menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan. Budaya boleh menjadi pemacu dan pemboleh ekonomi, kerana seperti yang saya nyatakan di atas, faktor positif kebahagiaan dapat berkembang pesat dalam masyarakat yang intipati budayanya kuat.
Kita perlu membuat penilaian dengan mendalam di mana pemetaan aset tempatan ekonomi kreatif – termasuk pemetaan aset warisan tradisional kita – dan secara agresif memohon pengiktirafan Unesco terhadap seni, budaya dan warisan kita.
Melalui sastera kita dapat mengutamakan adab dan adat, tonggak budaya dan jati diri. Marilah perlu mengukuhkan asas budaya sebagai pelaburan asas kepada mana-mana dasar pembangunan ekonomi kreatif yang komprehensif.
Penting untuk mewujudkan dasar yang mencukupi, kerana ekonomi kreatif sangat bergantung pada sistem budaya tidak formal, di mana penggiat seni dan usahawan sering terpaksa mendapatkan modal dari keluarga dan rakan sebagai saluran pembiayaan utama.
Ini sukar dan pengamal budaya sering terperangkap dan berfikir mereka mesti melakukan yang terbaik demi seni dan warisan mereka tanpa mengira keuntungan. Namun negara mendapat manfaat daripada ekosistem seni dan budaya.
Jadinya, tentulah logik negara perlu melabur dalam ekosistem ini; memang kita ada beberapa saluran, tetapi kita perlu pelaburan holistik jangka panjang – daripada pelan pembangunan, kepada produk, pemasaran dan pembiayaan. Dasar dan platform sedemikian sangat membantu.
“Ekonomi kreatif berkembang menjadi salah satu kuasa besar di zaman ini.”
Biar saya petik satu contoh pengalaman peribadi. Selama 20 tahun saya menulis karya dan buku tentang hikayat Melayu, lagenda dan cerita rakyat, hanya mementingkan manuskrip buku, tidak berminat dengan jualan.
Pada 2021, MBKM menjemput saya untuk temubual HOF dan MBKM mengajar saya bagaimana memperkenalkan hasil kerja kami di peringkat antarabangsa.
Lalu, tahun ini saya menghadiri FBM 2022, boleh dikatakan pesta buku terbesar di dunia, dan MBKM mengadakan seminar untuk mempersiapkan kami Pesta Buku tersebut. MBKM juga sempat mengadakan seminar hak perdagangan (Rights Clinic) sebelum kami berlepas ke Frankfurt. Tambahan pula disokong kosnya oleh pelbagai pinak.
Di Jerman, saya berjaya membincangkan dan mengesahkan perjanjian hak perdagangan dengan Itali dan Jerman. Di SIBF2022 pula, sekali lagi terdapat program Fellowship yang baru dilancarkan dan saya berpeluang membincangkan hak dagang berpotensi dengan Mesir dan Korea Selatan serta projek dengan Turkiye.
Ini tidak terlintas langsung di fikiran saya dua tahun lalu. Tahniah MBKM!
Saya cadangkan, ciptalah peluang baharu untuk usahawan dan penggiat budaya dalam pentadbiran perniagaan dan rangkaian sosial, libatkan mereka dalam aktiviti pemasaran, dan berikan mereka petikan bandar yang sesuai untuk pembangunan struktur sosial dan budaya masyarakat.
Bantulah penggiat seni terlibat dalam dialog dan platform antarabangsa untuk memudahkan pertukaran dan pembelajaran bersama serta perkongsian maklumat dan pengalaman.
Aspirasi budaya
Berbakti pada nusa dan bangsa, memperkenalkan hikayat Melayu pada semua lapisan masyarakat menjadi aspirasi. Saya percaya kisah ini dapat membina naratif kebangsaan, untuk mengenali jati diri, identiti dan kekuatan serta kelemahan di negara kita.
Kita ada satu keindahan berkurun lamanya. Milik kita bersama. Negara dan hikayat kita.
Untuk dikongsi. Dihargai. Dicintai.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa. – 5 Disember, 2022.
* Ninot Aziz adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen