Timor Timur-Australia tandatangani perjanjian maritim


Timor Timur dan Australia menandatangani perjanjian mengakhiri perbalahan berhubung sempadan maritim kedua-dua negara. – Gambar AFP, 7 Mac, 2018.

TIMOR Timur hari ini menandatangani perjanjian dengan Australia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mengakhiri perbalahan selama sedekad berhubung sempadan maritim mereka dan mungkin akan membuka potensi perolehan gas di luar pesisiran pantai bernilai bilion dolar.

Perjanjian itu dijangka bakal memberi lonjakan besar kepada Timor Timur, salah sebuah negara termiskin di Asia, menerusi penubuhan urus niaga khas untuk berkongsi keuntungan daripada kawasan gas luar pesisir pantai Greater Sunrise di Laut Timor.

Selepas menandatangani perjanjian itu pada satu majlis PBB, Menteri Luar Australia Julie Bishop memberitahu wartawan bahawa Timor Timur berpeluang memperoleh “faedah besar” daripada urus niaga itu.

“Kita bercakap tentang berbilion dolar untuk projek sumber itu,” kata Bishop.

Ditemui pada 1974, Greater Sunrise dianggarkan bernilai antara AS$40 dan AS$50 bilion. Medan luar pesisir pantai itu terletak 150km tenggara Timor Timur dan 450km barat daya Darwin.

Menteri Timor Timur berkata pembangunan medan gas menerusi saliran paip itu yang sampai ke pantainya bakal menjadi ejen perubahan untuk negaranya.

Projek seperti itu akan memberi kesan transformasi terhadap sosioekonomi negara itu, di mana 65% daripada 1.5 juta populasinya terdiri daripada golongan muda yang mencari pekerjaan, kata Hermenegildo Augusto Cabral Pereira.

Sebuah suruhanjaya yang memantau rundingan perjanjian itu akan mengeluarkan laporan berhubung beberapa pilihan untuk membangunkan kawasan Greater Sunrise. – AFP, 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen