Anwar harus segera jelaskan hala tuju kerajaan


SETELAH menelaah dan meneliti secara mendalam, maka timbul soalan dalam fikiran saya.

Apakah definisi yang paling tepat untuk memberi gambaran yang sebenar akan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim?

Walaupun secara rata kerajaan kini dikenali sebagai kerajaan perpaduan, tetapi dari segi falsafah dan politik adakah ini benar-benar sebuah kerajaan perpaduan?

Atau adakah ia boleh ditafsir sebagai sebuah kerajaan campuran atau kerajaan kompromi?

Jika benar ia sebuah kerajaan perpaduan maka Anwar harus dengan segera menggariskan intipati dan aspek perpaduan agar rakyat jelas akan hala tuju kerajaan perpaduan bimbingannya.

Ini penting untuk menangkis segala tohmahan yang keterlaluan oleh pihak tertentu.

Suara pembangkang semakin lantang dan kian menyoal akan konsep perpaduan yang sedia ada.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan ada pihak yang mengatakan bahawa kerajaan sekarang berlandaskan konsep berkompromi dan bukan atas dasar perpaduan.

Pencerahan dengan kadar segera akan memastikan kerajaan yang sedia ada tidak disangsi atau dipersoal di medan politik.

Negara harus bergerak ke hadapan dan tidak sekali lagi dibelenggu isu politik yang tidak bermakna dan merugikan masyarakat umum.

Anwar dan Kabinetnya tidak boleh lagi menggunakan alasan memandangkan kerajaan hari ini bukan sahaja terdiri dari Pakatan Harapan maka banyak kompromi harus dibuat.

Sebagai perdana menteri, beliau harus dilihat sebagai tegas dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak dalam kerajaannya.

Parti politik dalam gabungan yang membantu Anwar naik sebagai perdana menteri harus akur akan hakikat pengemudi bahtera negara adalah Anwar Ibrahim. – 5 Disember, 2022.

* Narinder Pal Singh adalah pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen