Lelaki bersenjata culik jemaah dalam serangan masjid di Nigeria


Lelaki bersenjata menculik 19 jemaah Islam selepas menyerang sebuah masjid di barat laut Nigeria yang bergolak, kata polis semalam.

Penyerang menyerbu masjid di Kampung Maigamji di negeri Katsina semasa jemaah menunaikan solat maghrib pada Sabtu.

Mereka menculik selepas menembak dan mencederakan imam serta seorang lagi jemaah, kata jurucakap polis tempatan Gambo Isah.

“Polis bertindak mengejar mereka dan berjaya menyelamatkan enam daripada jemaah berkenaan manakala usaha sedang dijalankan untuk membebaskan 13 yang tinggal,” katanya.

Dua jemaah yang cedera sedang dirawat di hospital, tambahnya.

Barat laut dan tengah Nigeria diserang oleh kumpulan penjenayah tempatan yang menyerbu kampung mencuri lembu, menculik untuk wang tebusan dan membakar rumah selepas merompak bekalan.

Tebusan biasanya dibebaskan selepas wang tebusan dibayar kepada kumpulan yang berlindung di Hutan Rugu yang meliputi empat negeri di barat laut Nigeria termasuk Katsina.

Bulan lalu 15 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam siri serangan ke atas kampung di negeri jiran Kaduna, kata pihak berkuasa.

Presiden Nigeria Muhammadu Buhari berada di bawah tekanan hebat untuk menamatkan keganasan sebelum beliau melepaskan jawatan tahun depan pada penghujung tempoh lapan tahun beliau memegang jawatan. – AFP, 5 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen