Lebih 500 kawasan di Ukraine terputus bekalan elektrik


LEBIH 500 kawasan di Ukraine terputus bekalan elektrik hari ini berikutan serangan udara Russia berminggu-minggu ke atas grid elektrik, kata seorang pegawai kementerian dalam negeri.

“Musuh terus menyerang infrastruktur penting negara. Pada masa ini, 507 kawasan di lapan wilayah negara kita terputus bekalan elektrik,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Yevgueny Yenin kepada televisyen Ukraine.

“Wilayah Kharkiv adalah yang paling teruk terjejas membabitkan 112 kampung terpencil,” tambah Yenin.

Katanya, 90 lagi kampung terputus hubungan di wilayah Donetsk dan Kherson, termasuk di wilayah Mykolaiv, Zaporizhzhia dan Lugansk.

Hari ini, pihak berkuasa Ukraine – termasuk gabenor wilayah Mykolaiv, Vitali Kim – sekali lagi menggesa orang awam supaya bersabar dalam berdepan keadaan awal musim sejuk yang semakin merosot dan bekalan elektrik terputus.

Pemotongan bekalan kuasa berulang menyebabkan berjuta-juta penduduk tidak mempunyai haba atau cahaya manakala suhu di luar menurun di bawah 0ºC dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Serangan berterusan ke atas rangkaian bekalan elektrik, menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Ukraine susulan musim sejuk berpanjangan ditambah dengan kebanjiran pelarian daripada peperangan kini memasuki bulan ke-10.

Pengendali tenaga swasta Ukraine, DTEK berkata hampir separuh daripada grid elektrik Ukraine rosak sejak Khamis selepas Russia mula menyasarkan kemudahan tenaga negara itu pada Oktober berikutan beberapa siri kekalahan tentera yang memalukan di lapangan. – AFP, 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen