IRAN memansuhkan unit polis moralnya selepas lebih dua bulan protes tercetus susulan penahanan Mahsa Amini kerana didakwa melanggar peraturan ketat berpakaian terhadap wanita di negara itu, lapor media tempatan hari ini.
Protes yang diketuai kaum wanita, yang dilabelkan sebagai “rusuhan” oleh pihak berkuasa, melanda Iran sejak wanita Kurdish berusia 22 tahun itu meninggal dunia pada 16 September, tiga hari selepas penahanannya oleh polis moral di Tehran.
“Polis moral tiada kaitan dengan badan kehakiman” dan dimansuhkan, kata Peguam Negara Mohammad Jafar Montazeri yang dipetik sebagai berkata agensi berita ISNA.
Menurut laporan tersebut, Jafar mengulas mengenai perkara itu ketika menjawab soalan seorang peserta persidangan agama yang bertanyakan “mengapa unit polis moral dimansuhkan?”
Polis moral – dikenali secara rasmi sebagai Gasht-e Ershad atau “Patrol Panduan” – ditubuhkan ketika pemerintahan bekas presiden Mahmoud Ahmadinejad, untuk “menyebarkan budaya kesopanan dan hijab”, penutup kepala wanita wajib.
Unit tersebut memulakan rondaan pada 2006.
Pengumuman pemansuhan mereka dibuat sehari selepas Montazeri berkata “kedua-dua Parlimen dan badan kehakiman sedang berusaha (mengenai isu)” sama ada undang-undang yang mewajibkan wanita bertudung perlu diubah.
Presiden Ebrahim Raisi berkata dalam ulasan yang disiarkan semalam, asas pembentukan republik Islam Iran berakar umbi secara perlembagaan “tetapi terdapat kaedah pelaksanaan perlembagaan yang boleh fleksibel”.
Hijab diwajibkan sejak empat tahun selepas revolusi 1979 yang menggulingkan monarki disokong Amerika Syarikat dan menubuhkan Republik Islam Iran.
Pegawai polis moral pada mulanya mengeluarkan amaran sebelum mula bertindak keras dan menangkap wanita sejak 15 tahun lalu. – AFP, 20 November, 2022.
Komen