Keutamaan kerajaan tangani kos sara hidup, mata wang rendah


Kata Ann Ping tidak perlu penubuhan sebarang jawatankuasa bagi menurunkan harga barang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2022.

TUMPUAN utama kerajaan hari ini adalah menangani kos sara hidup yang tinggi, ringgit yang rendah dan kebimbangan kemelesetan global serta impak kepada ekonomi Malaysia.

Pengarah Urusan Symphony Digest Sdn Bhd Saw Ann Ping berkata strategi untuk tujuan itu termasuklah menghapuskan monopoli, mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang mendapat permintaan dunia, menutup ketirisan dan membasmi rasuah.

Beliau berkata harga boleh dikurangkan secara automatik dengan menghapuskan monopoli dan membiarkan kuasa pasaran menentukannya.

“Tidak perlu ada jawatankuasa,” katanya.

Ann Ping, jurulatih industri perkhidmatan kewangan dan bekas ahli perbankan itu berkata monopoli dan oligopoli menikmati keuntungan dilindungi yang turut membenarkan ketidakcekapan, menyebabkan harga tinggi yang akhirnya berpindah kepada pengguna.

“Perkenalkan persaingan sekarang untuk menurunkan harga dan buang elemen yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata syarikat multinasional (MNC) turut mengelak Malaysia berikutan negara tidak mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang dikehendaki dunia.

Katanya bagi mengubah trend itu, keyakinan warga asing dan rakyat Malaysia terhadap ekonomi perlu dibina semula dengan menghentikan ketirisan dan rasuah.

Tambahnya, mengeluarkan lebih banyak hutang akan menjejaskan penarafan kredit Malaysia dan meningkatkan kos pinjaman yang sebenarnya membawa masalah yang lebih besar ke masa depan.

“Hampir semua hasil Malaysia dibelanjakan untuk perbelanjaan operasi yang tidak membawa banyak manfaat ekonomi.

“Alihkan perbelanjaan itu kepada pembangunan berikutan terdapat banyak cadangan bagaimana perbelanjaan operasi yang melambung dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan juga perlu disertai dengan tumpuan ke arah meningkatkan produktiviti serta menghasilkan lebih banyak output untuk input yang sama.

Selain itu katanya terdapat juga langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mencapai penjimatan yang besar dengan melaksanakan klausa integriti yang terkandung dalam kebanyakan perjanjian konsesi untuk kontrak diberikan oleh kerajaan.

“Jika rasuah terbukti menjadi faktor dalam penganugerahan tersebut, kerajaan mempunyai hak untuk menamatkan konsesi itu (dan) sekurang-kurangnya, terdapat ruang untuk merundingkan semula beberapa terma yang tidak sekata,” katanya, sambil menambah penjimatan itu perlu dilaburkan dalam pengangkutan awam dan pendidikan.

Beliau berkata terdapat pengangguran tetapi pada masa yang sama syarikat mengurangkan waktu perniagaan atau ditutup berikutan masalah pekerja.

Ann Ping berkata antara sebabnya ialah ketidakupayaan pekerja untuk ke tempat kerja berikutan ketiadaan atau jaringan pengangkutan awam yang lemah, justeru masa dihabiskan dalam trafik yang mengurangkan produktiviti dan mewujudkan rasa tidak gembira dalam kalangan pekerja.

Beliau berkata sistem pendidikan juga perlu kurang dipolitikkan untuk mengelak pengangguran dan guna tenaga tidak penuh bagi golongan muda serta amalan melihat pendidikan tinggi sebagai perniagaan perlu dihentikan.

Katanya lagi golongan muda menamatkan pengajian dengan pinjaman yang tinggi namun bidangnya itu tidak diperlukan industri.

“Adakah hairan jika ramai golongan muda Malaysia tidak mahu melanjutkan pelajaran.

“Apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi lebih selektif dalam memberikan pinjaman, amalan ini akan berhenti dan latihan vokasional apabila sebahagian pelajar lebih sesuai akan mendapat dorongan berikutan orang membayar untuk kemahiran,” katanya. – Bernama, 4 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen