Iran mula bina loji nuklear baharu


IRAN sudah memulakan pembinaan loji nuklear terbarunya di wilayah selatan Khuzestan, kata agensi tenaga nuklear negara itu pada Sabtu.

Mohammad Eslami, ketua Organisasi Tenaga Atom Iran, menerusi telivisyen mengumumkan pembinaan loji tenaga 300-megawatt Karun di wilayah Darkhovin, Khuzestan.

Pembinaan akan mengambil masa tujuh tahun dan dijangka menelan belanja antara AS$1.5 bilion hingga AS$2 bilion, tambahnya.

Eslami berkata loji tenaga itu “pada mulanya akan dibina oleh syarikat Perancis” tetapi syarikat itu menarik diri daripada melaksanakan “komitmentnya” selepas Revolusi Islam 1979.

“Selepas itu, negara lain mengelak untuk bekerjasama dengan republik Islam kerana sekatan yang dikenakan,” katanya lagi.

Di bawah perjanjian dimeterai pada 2015, Iran bersetuju untuk menghentikan loji nuklear Fordo dan menghadkan pengayaan uranium kepada 3.67%, menerusi pakej sekatan terhadap aktiviti nuklearnya bagi menghalangnya menjadi sebuah kuasa besar nuklear.

Tehran berulang kali menafikan mereka mahu membangunkan senjata nuklear.

Sebagai ganjaran kepada sekatan itu, kuasa besar dunia bersetuju melonggarkan sekatan dikenakan ke atas program nuklear Iran.

Tetapi perjanjian itu terbatal pada 2018 apabila presiden AS ketika itu, Donald Trump, menarik keluar AS daripada perjanjian itu dan kembali mengenakan sekatan ekonomi yang ketat.

Iran kembali membuka loji nuklear Fordo bulan lepas dan berkata ia mula mengeluarkan pengayaan uranium pada kadar 60% di situ.

Ia juga kembali mengoperasikan loji nuklear di Bushehr, yang mengeluarkan 1,000 megawatt kuasa.

Perbincangan menghidupkan semula perjanjian 2015 itu mula kembali dibuat pada April 2021, tetapi tertangguh sejak beberapa bulan lepas susulan ketegangan hubungan antara Iran dan beberapa pihak dalam perjanjian itu. – AFP, 4 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen