KUMPULAN pengganas Negara Islam (Isis) pada Sabtu mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas Kedutaan Pakistan di Kabul, yang disifatkan Islamabad sebagai “cubaan bunuh”.
Seorang pengawal keselamatan cedera dalam serangan pada Jumaat di ibu kota Afghanistan itu.
Dalam satu kenyataan dipetik pemantau pengganas SITE, cabang rantau Isis berkata ia “menyerang duta Pakistan yang murtad dan pengawalnya.”
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata ia adalah “cubaan bunuh” ketua misi dan mendesak siasatan dijalankan.
Seorang jurucakap polis Kabul berkata seorang individu sudah ditahan dan dua senjata dirampas selepas pasukan keselamatan menyerbu bangunan berhampiran.
Walaupun Pakistan secara rasmi tidak mengiktraf kerajaan Taliban Afghanistan, mereka terus membuka kedutaan di negara itu apabila Taliban mengambil alih pentadbiran pada Ogos tahun lepas dan mengekalkan sepenuhnya pasukan diplomatik.
Seorang pegawai kedutaan memberitahu AFP seorang penyerang “bersembunyi di sebalik rumah-rumah di situ dan mula menembak” tetapi duta dan kakitangan lain selamat.
Seorang jurucakap Kementerian Luar Afghanistan berkata mereka mengecam keras “cubaan serangan yang gagal” itu.
“Emiriah Islam Afghanistan tidak akan membenarkan mana-mana pelaku berniat jahat untuk mengancam keselamatan misi diplomatik di Kabul,” katanya dalam satu kenyataan dan berikrar akan mencari dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.
Hubungan Pakistan dan Taliban rumit dan sering tegang, dengan Islamabad dituduh menyokong Taliban walaupun mereka menyokong pencerobohan Afghanistan diketuai AS selepas serangan 9/11.
Jutaan pelarian Afghan berada di Pakistan dan sempadan kedua negara yang poros seringkali menyebabkan pertempuran.
Sejak kembali berkuasa, Taliban menegaskan mereka tidak akan membenarkan mana-mana pasukan tentera asing beroperasi di negara itu. – AFP, 4 Disember, 2022.
Komen