UKRAINE menahan lapan orang berkaitan rompakan mural dilukis seniman jalanan British, Bansky, di dinding di pinggir Kyiv, kata pihak berkuasa.
Mural orang memakai jubah tidur dan topeng gas memegang pemadam api itu terletak di sebelah tingkap terbakar di bandar Gostomel hilang pada Jumaat, kata mereka
“Sekumpulan orang cuba mencuri mural Bansky. Mereka memotong karya itu daripada dinding rumah yang dimusnahkan Rusia,” kata Gabenor Kyiv Oleksiy Kuleba dalam satu mesej Telegram pada Jumaat.
Beliau menyertakan gambar dinding dikerat, tempat terletaknya mural itu.
“Beberapa orang ditahan serta merta,” katanya. “Karya itu berada dalam keadaan baik dan sudah berada dalam jagaan pihak berkuasa.”
Karya lain di kawasan itu yang dipercayai karya Bansky kini diletakkan di bawah perlindungan polis, katanya.
Ketua Polis Kyiv Andriy Nebitov berkata “lapan orang sudah dikenalpasti” terlibat dalam kes itu dan kertas siasatan sudah dibuka.
“Kesemua mereka berusia antara 27 hingga 60 tahun. Mereka adalah penduduk Kyiv dan Cherkasy” terletak hampir 200 km dari ibu kota,” katanya.
Bulan lepas, Bansky memuatnaik gambar mural seorang ahli gimnastik di dinding bangunan rosak di Borodyanka, kawasan pinggir bandar di Kyiv.
Beliau turut memuatnaik beberapa karyanya termasuk mural orang memakai topeng gas memegang pemadam api.
Karya lain termasuklah gambar seorang lelaki berjambang sedang mandi dan seorang budak lelaki berlatih karate dengan orang dewasa.
Bandar-bandar seperti Bucha, Irpin, Borodyanka dan Gostomel teruk diserang Rusia selepas mereka menceroboh Ukraine pada Februari. – AFP, 4 Disember, 2022.
Komen