Afghanistan kecam serangan ke atas kedutaan Pakistan


Lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang Kedutaan Pakistan di Kabul pada Jumaat, mencederakan seorang pengawal keselamatan, namun ketua pejabat kedutaan itu terselamat. – Gambar Facebook, 3 Disember, 2022.

KERAJAAN sementara Taliban mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Kedutaan Pakistan di Kabul, menyifatkannya sebagai tindakan keganasan dan memberi jaminan akan memastikan keselamatan misi diplomatik itu, lapor Xinhua.

“Kerajaan Islam Afghanistan mengutuk serangan ganas yang gagal ke atas kedutaan Pakistan itu, dan tidak akan membenarkan mana-mana pelaku yang berniat jahat untuk menimbulkan ancaman ke atas keselamatan misi diplomatik di Kabul,” kata jurucakap pentadbiran Kementerian Luar Abdul Qahar Balkhi menerusi akaun Twitternya.

Lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang Kedutaan Pakistan di Kabul pada Jumaat, mencederakan seorang pengawal keselamatan, namun ketua pejabat kedutaan itu terselamat.

Jurucakap polis Kabul Khalid Zadran mengesahkan serangan itu.

Beliau berkata Kedutaan Pakistan menjadi sasaran serangan, pasukan keselamatan tiba tepat pada masanya di lokasi kejadian dan menahan seorang suspek dari sebuah rumah di Karta-e-Parwan.

Penyerang melepaskan tembakan dari rumah berkenaan dan dua laras senapang turut ditemukan ketika suspek ditahan, katanya.

Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan pihak pentadbiran juga tidak menuding jari kepada mana-mana kumpulan tertentu.

Siasatan telah dimulakan dan hasilnya akan diumumkan, menurut Zadran.

Serangan itu adalah yang kedua terhadap pejabat kedutaan asing di Kabul sejak empat bulan lepas.

Sebelum ini, serangan pengebom bunuh diri berlaku di pintu masuk Kedutaan Rusia pada awal September lalu yang meragut enam nyawa termasuk dua kakitangan kedutaan. – Bernama, 3 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen