JUNTA Myanmar menjatuhkan hukuman mati terhadap sekurang-kurangnya tujuh lagi individu, menjadikan jumlah yang dihukum mati kepada 139, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap junta tidak menjawab pertanyaan untuk pengesahan jumlah kematian terkini, dengan PBB menuduh ia menggunakan hukuman mati sebagai “alat untuk memusnahkan pembangkang”.
Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
Sekurang-kurangnya tujuh pelajar universiti telah dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah tentera secara tertutup pada Rabu, kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk dalam satu kenyataan.
“Dengan menggunakan hukuman mati sebagai alat politik untuk menumpaskan pembangkang, tentera mengesahkan lagi ia menghina usaha Asean dan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan keganasan dan mewujudkan syarat untuk dialog politik bagi membawa Myanmar keluar daripada krisis hak asasi manusia yang dicipta oleh tentera,” kata Turk.
Laporan media tempatan berkata pelajar universiti dari Yangon itu ditangkap pada April dan dituduh terlibat dalam tembakan di bank.
“Mengenakan hukuman mati ke atas pelajar adalah tindakan membalas dendam oleh tentera,” kata kesatuan pelajar Universiti Dagon dalam satu kenyataan.
PBB juga sedang menyiasat laporan empat lagi aktivis belia turut dijatuhi hukuman mati pada Khamis.
Sebilangan besar pengguna media sosial Myanmar menggunakan Facebook dan Twitter untuk membantah hukuman mati di bawah hashtag seperti “StopExecuteOurStudents”. – AFP, 3 Disember, 2022.
Komen