Wonder Woman diharamkan di Lebanon


Setakat ini Lebanon ialah satu-satunya negara rantau Arab yang mengharamkan tayangan filem Wonder Woman. – Gambar AFP, 1 Jun, 2017.

LEBANON mengharamkan tayangan filem pecah panggung Hollywood, “Wonder Woman” kerana pelakon wanita utamanya Gal Gadot, yang pernah berkhidmat dalam tentera Israel, menggunakan alasan pendirian berterusan memboikot negara Yahudi itu, lapor AFP hari ini.

Keputusan itu mencetuskan kekecohan media sosial, apabila sebilangan rakyat Lebanon memerli pihak berkuasa dan sebilangan yang lain meraikan keputusan itu sebagai satu usaha dalam kempen meminggirkan Israel.

Seorang pegawai Keselamatan Umum Lebanon memberitahu AFP yang Kementerian Dalam Negeri negara itu “memutuskan untuk mengharamkan tayangan filem ini berdasarkan cadangan Pejabat Boikot Israel Liga Arab”.

Lebanon dan Israel secara teknikalnya masih berperang, dan Liga Arab mengekalkan pejabatnya di Damascus yang bertanggungjawab menyelaras boikot serantau kepada negara Yahudi itu.

Menteri budaya dan ekonomi Lebanon, menyarankan filem itu diharamkan selepas memohon pejabat Liga Arab mengeluarkan arahan memboikot semua hasil seni pelakon wanita berusia 32 tahun itu.

Gadot, seperti semua belia Israel terlibat dalam kerahan wajib tenaga tentera, menjadi tumpuan pada 2014 selepas memuat naik catatan di Facebook mempertahankan serangan negara itu ke atas Tebing Gaza untuk memusnahkan pergerakan pembebasan Palestin, Hamas.

Tetapi banyak pihak di Lebanon memerli keputusan itu sebagai membuang masa, mengatakan yang filem itu masih boleh ditonton dalam talian.

“Bebaskan Palestin dengan (haramkan)filem pada satu-satu masa, #LiveLoveCensorship,” perli Stop Cultural Terrorism, sebuah kumpulan Lebanon yang mempromosikan kebebasan bersuara.

Lebanon dianggap salah satu negara Arab paling liberal di dunia, dengan penerbitan karya seni yang banyak.

Tetapi Kementerian Dalam Negeri negara itu kadang-kala mengharamkan kandungan yang dianggap mencetuskan perbalahan, menyerang moral atau autoriti pihak berkuasa, atau mencerminkan propaganda Israel.

Setakat ini, hanya Lebanon negara rantau Arab yang mengeluarkan arahan mengharamkan tayangan Wonder Woman, walaupun negara lain termasuk Mesir, Algeria dan Tunisia masih lagi akan menayangkan filem itu yang dijadualkan pada akhir bulan ini.  – AFP, 1 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen