NEGARA anggota Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan penetapan harga siling AS$60 setong untuk eksport minyak mentah Russia yang diangkut melalui laut, lapor Agensi Anadolu.
“Keputusan akan berkuat kuasa pada penerbitan dalam Jurnal Rasmi. EU kekal bersatu dan #StandWithUkraine,” umum Majlis EU Kesatuan Eropah di Twitter.
Ia sekali gus menamatkan rundingan dalam kalangan wakil blok 27 anggota itu.
Selain itu, harga siling berkenaan ditetapkan sekurang-kurangnya 5% di bawah harga pasaran minyak mentah dan akan disemak setiap dua bulan.
Negara G7 akan melarang syarikat perkapalan mereka daripada memudahkan penghantaran minyak Russia jika dijual melebihi harga siling yang ditetapkan
Perjanjian itu akan berkuat kuasa pada Isnin, apabila EU akan mula memotong bekalan minyak mentah dari Russia melalui laut.
Russia ialah pengeksport minyak mentah kedua terbesar dunia selepas Arab Saudi, memenuhi sekitar 10% permintaan minyak mentah global.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata perjanjian itu yang diselaraskan dengan G7 dan lain-lain akan mengurangkan pendapatan Russia dengan ketara.
“Ia akan membantu kami menstabilkan harga tenaga global, memanfaatkan ekonomi sedang pesat membangun di seluruh dunia,” katanya di Twitter. – Bernama, 3 Disember, 2022.
Komen