POLIS Houston berkata semalam mereka menahan dan mendakwa seorang lelaki yang disyaki membunuh penyanyi rap Takeoff, ahli kumpulan Migos, yang maut ditembak bulan lalu.
Bercakap pada sidang akhbar, ketua polis Houston Troy Finner berkata Patrick Xavier Clark, 33, ditahan pada petang Khamis berhubung kematian Takeoff, yang merupakan seorang daripada tiga individu yang ditembak pada 1 November di sebuah pusat boling di Houston.
Sehari sebelum itu Cameron Joshua, 22, didakwa membawa senjata yang menyalahi undang-undang.
Polis Houston Michael Burrow berkata insiden tembakan di parti tertutup susulan pertengkaran mengenai “permainan dadu”, tetapi Takeoff tidak terlibat dan “seorang individu yang tidak bersalah.”
Beliau juga berkata siasatan masih diteruskan.
“Keganasan senjata api di mana-mana, bukan sahaja di bandar Houston, perlu dihentikan,” kata datuk bandar bandar itu, Sylvester Turner, pada Jumaat, menyifatkan kes tembakan itu sebagai “pemuda yang membunuh seorang lagi pemuda tanpa sebab. ”
Dilahirkan di Lawrenceville, Georgia pada 18 Jun 1994, Takeoff terkenal dengan keahliannya di Migos bersama Quavo, bapa saudaranya, dan Offset, sepupunya yang berkahwin dengan seorang lagi penyanyi rap Cardi B.
Migos yang berpangkalan di Atlanta terkenal dengan lagu viral 2013 mereka “Versace,” yang diolah semula oleh Drake.
Ketiga-tiga mereka kemudian merakam “Walk It Talk It” dengan penyanyi terkenal rap Kanada. – AFP, 3 Disember, 2022.
Komen