Air mata Suarez di Piala Dunia terakhirnya


Luis Suarez meninggalkan Piala Dunia keempat dan terakhirnya dengan sarat rasa sedih dan kecewa susulan Uruguay tersingkir walaupun menewaskan Ghana 2-0. – Gambar Facebook, 3 Disember, 2022.

LUIS Suarez meninggalkan Piala Dunia keempat dan terakhirnya dengan sarat rasa sedih dan kecewa susulan Uruguay tersingkir walaupun menewaskan Ghana 2-0.

Uruguay memenangi aksi terakhir Kumpulan H itu tetapi Korea Selatan menyekat kemaraan mereka apabila menundukkan Portugal 2-1 sekali gus mengiringi lawan itu yang sudah layak ke pusingan kalah mati.

Korea Selatan mara dengan kelebihan jumlah jaringan selepas kedua-dua pasukan mengumpul empat mata.

Suarez keluar padang sambil menangis sementara rakan sepasukan, Edinson Cavani yang bengang kelihatan menolak skrin Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika kembali ke bilik persalinan.

“Saya sedih dan kecewa. Saya cukup bertuah dapat beraksi dalam empat Piala Dunia,” kata Suarez, 35, kepada stesen televisyen Uruguay, Teledoce.

“Sebelum perlawanan saya berfikir tentang anak lelaki saya yang berusia empat tahun dan tidak pernah melihat saya menang perlawanan Piala Dunia.

“Hari ini dia melihat saya menang tetapi dengan kesedihan. Bagi seorang bapa, dan seorang pemain, ia amat sukar,” katanya. – AFP, 3 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen