Kabinet muflis moral, rakyat perlu hukum Pakatan-BN di Tioman dan Padang Serai


PENGUMUMAN pembentukan Kabinet semalam tiada apa yang mengejutkan. Kerajaan rosak pimpinan Anwar Ibrahim ini, benar-benar muflis moral apabila kluster mahkamah yang selama ini rakus mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa diangkat ke Kabinet.

Barisan Kabinet ini adalah suatu cubaan memperbodohkan rakyat. Pada hal, rakyat memberi mesej jelas dalam PRU15 mereka mahukan saf kepimpinan politik dan pentadbiran negara yang mendahulukan kepentingan rakyat, mengangkat nilai moral, integriti serta akauntabiliti mengatasi apa jua kepentingan peribadi.

Sebaliknya, Anwar mencampakkan segala nilai moral, prinsip, integriti serta akauntabiliti ke tong sampah demi kuasa dan takhta. Ini suatu lagi bukti jelas Anwar adalah seorang politikus matlamat menghalalkan cara, yang sanggup menggadaikan apa saja demi kuasa.

Saya anggap ini satu lagi usaha Anwar untuk mensucikan kluster mahkamah. Saya semakin bimbang sekiranya kes perbicaraan membabitkan kluster mahkamah akan terganggu.

Saya kasihankan pengundi yang memilih PH kerana terbukti undi PH akhirnya mereka dapat Zahid Hamidi. Mana perginya perjuangan reformasi?

Saya juga kasihan pengundi Umno-BN kerana segala laungan mereka dijual sebegitu murah oleh Zahid yang mahu menyelematkan diri. Adakah Umno masih relevan hari ini?

Terbukti sekali lagi hanya Perikatan Nasional (PN) yang layak bercakap soal prinsip dan moral. Kami lebih rela menjadi pembangkang bermaruah daripada mengemis kuasa dan menjilat ludah sendiri sehingga tergamak menggadaikan prinsip perjuangan sepertimana dilakukan PH dan BN.

Kepada rakyat, kerajaan rosak pimpinan Anwar, yang terkandung di dalamnya perasuah, penyamun, kluster mahkamah, serta pendendam kepada penjawat awam, perlu dihukum dengan seberat-berat hukuman dengan menolak calon PH-BN di DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai pada 7 Disember ini.

Ketika PH-BN muflis moral, PN adalah satu-satunya wadah serta harapan buat rakyat Malaysia. PN mengangkat, memperjuang dan menjunjung tinggi imej serta ketrampilan politik baru yang bersih, stabil, segar serta berintegriti demi menghasilkan Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua.

Ayuh pengundi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai, demi negara jangan sia-siakan peluang ini. 0 3 Disember, 2022.

*Wan Saiful Wan Jan adalah ketua penerangan Bersatu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen