Kaunselor sibuk kaki judi kalah pertaruhan Piala Dunia


Angie Tan

Beberapa kaki judi mendapatkan bantuan kaunselor pusat pemulihan perjudian selepas menanggung hutang yang banyak akibat menyertai pertaruhan bola sepak Piala Dunia. – Gambar AFP, 3 Disember, 2022. 

BEBERAPA kaki judi kini mendapatkan bantuan daripada kaunselor pusat pemulihan perjudian selepas berdepan kekalahan teruk dan menanggung hutang yang banyak akibat menyertai pertaruhan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung di Qatar.

Kaunselor memberitahu The Malaysian Insight masalah itu baru bermula dan akan menjadi lebih teruk apabila kejohanan itu mencapai peringkat kalah mati pusingan 16 terakhir dalam beberapa hari akan datang.

Perlawanan akhir Piala Dunia bermula pada 20 November dan semua perlawanan peringkat kumpulan ditayangkan secara langsung di stesen TV tempatan. Fasa kalah mati – pusingan 16 terakhir akan berlangsung dari 3 hingga 18 Disember.

“Ini baru permulaan. Tentu akan ada lagi,” kata Peter Lee dari Pusat Pemulihan Gambler.

Pusat pemulihannya adalah antara mereka yang secara purata menerima dua panggilan seminggu daripada penjudi yang meminta bantuan selepas menghadapi masalah hutang akibat bertaruh pada perlawanan Piala Dunia.

Ketua Pengarah Pusat Pemulihan Judi Malaysia Bryant Leong berkata mereka yang datang mendapatkan bantuan disebabkan oleh ketagihan berjudi menanggung hutang antara puluhan hingga ratusan ribu ringgit.

Leong berkata tidak seperti Piala Dunia sebelum ini penjudi mendapatkan bantuan datang lebih awal dalam kejohanan tahun ini.

Beliau berkata keputusan tidak dijangka membabitkan pasukan terkenal dan pasukan pilihan sebelum kejohanan seperti Argentina tewas 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C mereka, Australia menewaskan pasukan kuasa Eropah Denmark 1-0 dan pasukan kegemaran Jerman tewas 1-2 kepada Jepun sebagai sebab mengapa ramai penjudi ini mengeluarkan wang begitu awal dan memerlukan bantuan.

Walaupun majoriti mereka yang mendapatkan bantuan adalah golongan dewasa berusia 30 tahun dan ke atas, Lee dari Gambler Rehab berkata beliau juga membantu pelajar rendah, menengah dan universiti.

Malah ada juga golongan wanita yang datang mendapatkan bantuan daripada mereka.

Beliau berkata penjudi golongan muda biasanya akan menggunakan wang saku yang diberikan ibu bapa mereka untuk meletakkan pertaruhan.

Apabila mereka berdepan kekalahan berturut-turut, ketika itulah mereka mula meminjam wang untuk meneruskan pertaruhan dengan kepercayaan bahawa mereka akan menang pada pertaruhan seterusnya, kata Lee.

Beliau juga mendakwa wang pinjaman untuk bertaruh pada perlawanan Piala Dunia berleluasa di kampus dan menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan.

Lee berkata beliau tertanya-tanya sama ada pihak berkuasa kampus tidak menyedari masalah itu atau hanya menutup mata berkenaan situasi berkenaan. – 3 Disember, 2022. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen