Dipijak gajah, 10 pelarian Rohingya maut di Bangladesh


Kem pelarian dibina besar-besaran di Cox's di sempadan Bangladesh, termasuk Kutupalong yang kini diisytiharkan sebagai kem pelarian terbesar dunia. – Gambar AFP, 7 Mac, 2018.

SERAMAI 10 pelarian Rohingya maut selepas dipijak sekumpulan gajah yang sedang mencari makanan, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.

PBB turut mengumumkan rancangan baharu yang memberi fokus kepada keharmonian tempat tinggal membabitkan pelarian dan haiwan berkenaan, susulan insiden itu.

Kira-kira 700,00 penduduk Rohingya di Myanmar melarikan diri ke sempadan Bangladesh sejak Ogos tahun lalu susulan kekejaman tentera yang disifatkan PBB sebagai kempen pembersihan etnik.

Kem pelarian dibina besar-besaran di Cox’s di sempadan Bangladesh, termasuk Kutupalong yang kini diisytiharkan sebagai kem pelarian terbesar dunia.

Selain tinggal dalam persekitaran sesak dan serba kekurangan, agensi pelarian PBB mendakwa ancaman gajah liar yang semakin berleluasa lebih membimbangkan.

“Kawasan yang kini menempatkan kem pelarian Kutupalong menjadi habitat penting bagi gajah Asia. Dianggarkan terdapat 40 gajah yang berulang-alik di antara Bangladesh dan Myanmar untuk mencari makanan,” kata agensi berpangkalan di Geneva dalam satu kenyataan.

“Sewaktu kawanan gajah liar melintasi kawasan kem, pertembungan antara haiwan dan penghuni di situ tidak dapat dielakkan sekali gus mencetuskan pelbagai perkara buruk.

“Kematian 10 pelarian yang dibunuh gajah yang ketakutan itu amat tragik. Itu belum termasuk mangsa yang cedera dan kemusnahan harta benda berpunca daripada kekacauan ini, ” kata kenyataan itu. – AFP, 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen