PENTADBIRAN Donald Trump di White House dikejutkan lagi dengan satu lagi peletakan jawatan berprofil tinggi semalam, apabila penasihat kanan ekonomi Gary Cohn menghantar suratnya sebagai bantahan terhadap keputusan presiden itu untuk mengenakan levi bagi tarif besi global.
“Ia satu penghormatan untuk berkhidmat kepada negara dan menggubal dasar ekonomi pertumbuhan untuk memberi manfaat kepada rakyat Amerika,” kata Cohn dalam satu kenyataan semalam.
Cohn individu terbaru dalam barisan penasihat kanan Trump yang meletak jawatan atau dipecat.
Cohn, 57, membantah keras keputusan Trump untuk mengenakan tarif levi kepada besi dan aluminium, yang dibimbangkan akan mencetuskan perang dagangan.
“Selama beberapa minggu Gary berbincang dengan presiden hingga menyebabkan beliau hampir diarah keluar. Tarikh akhirnya berkhidmat masih belum ditentukan tetapi ia beberapa minggu dari sekarang,” kata pegawai White House.
Pemergian bekas eksekutif Goldman Sachs itu, dikatakan akan menjejaskan sesi dagangan di Wall Street hari ini.
Pegawai berketurunan Yahudi itu mengugut untuk meletak jawatan selepas Trump enggan mengutuk kumpulan neo Nazi yang melakukan tunjuk perasaan di Charlottesville, Virginia.
Ahli Democrat sejak sekian lama, Cohn dilihat sebagai pengaruh kesederhanaan yang cuba membendung naluri ekonomi nasionalis Trump dan penasihat seperti Peter Navarro.
Dalam satu kenyataan, Trump memuji Cohn sebagai bakat yang jarang ditemui. – AFP, 7 Mac, 2018.
Komen