SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa menggesa agar konvoi bantuan diberikan akses segera di Syria sehari selepas serangan udara menghalang penghantaran makanan dan perubatan ke Ghouta Timur.
Guterres menyeru semua pihak yang berperang membenarkan trak bantuan kembali ke bandar utama Douma di Ghouta Timur untuk menyelesaikan penghantaran bekalan kemanusiaan “seperti yang dipersetujui dengan pihak berkuasa Syria,” kata kenyataan PBB.
Ketika serangan udara dan tembakan diteruskan, pekerja bantuan pada Isnin memutuskan untuk keluar dari Ghouta Timur selepas menurunkan 32 daripada 46 trak bantuan dalam konvoi itu.
Hampir separuh daripada makanan yang dibawa ke konvoi itu tidak dapat diserahkan dan sebahagian daripada bekalan perubatan dan kesihatan dikeluarkan dari trak oleh pihak berkuasa Syria, kata PBB.
Guterres “menyeru semua pihak segera membenarkan akses konvoi yang selamat dan tidak dihalang bagi menyampaikan bekalan penting kepada ratusan ribu orang yang sangat memerlukan,” kata kenyataan itu.
Rayuannya itu menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan yang diminta oleh Britain dan Perancis bagi membincangkan kegagalan gencatan senjata di Syria, 10 hari selepas badan utama PBB itu menuntut gencatan senjata tersebut.
Disokong oleh Rusia, sekutu Syria, majlis itu sebulat suara menggunakan resolusi pada 24 Februari yang menuntut 30 hari pemberhentian pertempuran bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan pemindahan penduduk awam yang sakit dan cedera.
Serangan udara, dan tembakan meriam serta roket di kawasan pemberontak dekat ibu kota Damsyik membunuh ratusan penduduk dan memusnahkan kawasan kediaman sejak ia bermula pada 18 Februari.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria mengatakan 800 orang awam - termasuk sekurang-kurangnya 177 kanak-kanak - terbunuh sejak pasukan Syria yang disokong Rusia melancarkan serangan ke atas wilayah itu pada 18 Februari. – AFP, 7 Mac, 2018.
Komen