PM Anwar menghadap Agong pagi ini


Kenderaan dinaiki Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 pada 8.22 pagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2022.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong semula pagi ini sewaktu perhatian negara tertumpu kepada barisan anggota Kabinet yang akan diumumkannya.

Beliau menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara dalam pertemuan pertama sejak mengangkat sumpah jawatan perdana menteri seminggu lalu.

Kenderaan dinaiki Anwar dilihat memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 pada 8.22 pagi.

Selepas sesi menghadap hampir sejam, beliau kemudian beredar meninggalkan perkarangan Istana Negara pada 9.15 pagi.

Anwar seterusnya dijadualkan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada 10 pagi dalam rangka lawatannya ke negeri itu hari ini.

Anwar juga dijadualkan bertemu pengunjung dalam acara ramah mesra di Pasar Tanjung Rambutan, melawat Klinik Kesihatan Manjoi dan solat Jumaat serta kenduri di sebuah masjid di Taman Jati.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata perbincangan mengenai pelantikan jemaah menteri hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa beberapa hari.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar dibentuk empat gabungan parti utama – PH, BN, GPS dan GRS. – 2 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen